Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan

Khamis, 12 November 2026

42 individu ditahan, polis Sarawak tumpaskan tujuh sindiket scam antarabangsa

42 individu ditahan, polis Sarawak tumpaskan tujuh sindiket scam antarabangsa


KUCHING - Polis Sarawak berjaya menumpaskan tujuh sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menerusi pusat panggilan atau call centre dalam satu operasi bersepadu, Ops Megpie 01/2026, yang menyaksikan 42 individu ditahan.


Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dari 19 hingga 31 Oktober lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak berkata, tujuh serbuan dilakukan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu, membabitkan dua rumah banglo, tiga rumah teres serta dua unit apartmen yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket.


Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.


Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing membabitkan 18 warga China, lapan Indonesia serta masing-masing seorang dari Taiwan dan Myanmar.


Siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan pelbagai kegiatan penipuan termasuk pelaburan tidak wujud, pelaburan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian palsu serta pengurusan kewangan hasil kegiatan penipuan.


Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa di luar negara termasuk Jepun, China, Indonesia dan Austria, bukannya rakyat tempatan.


Tempoh operasi di premis terbabit dikesan antara 10 hari hingga 11 bulan sebelum kegiatan mereka berjaya dihidu polis hasil maklumat orang awam.


Dalam operasi itu, polis turut merampas peralatan bernilai kira-kira RM230,000, termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, tujuh telefon bimbit, lima set peranti Internet tanpa wayar, satu set rangkaian Internet dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Saifullizan berkata, seramai 33 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan. Daripada mereka yang dituduh, 17 mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 setiap seorang.

Sabtu, 7 November 2026

Perselisihan faham berakhir dengan pergaduhan, dua lelaki didenda RM1,000

Perselisihan faham berakhir dengan pergaduhan, dua lelaki didenda RM1,000

Gambar Ilustrasi

KUCHING - Dua lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah melakukan gaduh gempar di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, minggu lalu.


Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara selama dua minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Tertuduh, Azizol Abu Bakar, 35, dan Shahziman Pathi, 42, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 petang pada 30 Oktober 2026 di KTLD, Jalan Merbau, Pending Industrial Estate.


Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat orang awam mengenai pergaduhan itu sebelum mendapati Azizol dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan luka panjang di belakang badan.


Azizol pada awalnya mendakwa dia diserang Shahziman menggunakan senjata tajam ketika berada di sebuah kedai, namun tidak mengetahui punca kejadian dan enggan membuat laporan polis.


Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai perselisihan faham sejak sekian lama, malah pernah beberapa kali bergaduh sebelum saling memprovokasi dan bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan masalah mereka.


Bagaimanapun, pertemuan tersebut berakhir dengan pergaduhan di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.


Kedua-duanya ditahan pada hari kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 160 kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Anggota polis bebas tuduhan ambil dadah sembilan tahun lalu

Anggota polis bebas tuduhan ambil dadah sembilan tahun lalu


KUCHING - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin lalu daripada pertuduhan mengambil dadah jenis MDMA pada 2017.


Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh, Muhamad Mustaqim Che Ismail, melampaui keraguan munasabah.


Mahkamah turut mengambil kira beberapa kelemahan dalam proses pengambilan, pengendalian dan pengenalpastian sampel air kencing sebelum ia dianalisis oleh ahli kimia.


Ketika menyampaikan keputusan, Nursyaheeqa berkata, beliau meneliti keterangan pihak pendakwaan pada akhir kes serta mempertimbangkan hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan pihak pembelaan.


Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah, berdasarkan prinsip yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor lwn Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457.


Mengikut pertuduhan, Muhamad Mustaqim didakwa mengambil dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada jam 2.05 petang, 9 Ogos 2017, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan menutup kes pada 21 Julai 2026 selepas memanggil empat saksi untuk memberikan keterangan. Muhamad Mustaqim diwakili peguam Osman Ibrahim dan pelatih dalam kamar, Then Mei In.

Khamis, 29 Oktober 2026

Wanita Indonesia didenda RM3,500 tawar khidmat seks di pusat refleksologi

Wanita Indonesia didenda RM3,500 tawar khidmat seks di pusat refleksologi


KUCHING - Seorang wanita warga Indonesia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seksual dengan bayaran RM250 di sebuah pusat refleksologi di Jalan Batu Kawa.


Majistret Nureina Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman itu terhadap Diana Sri Mondo, 31, dan memerintahkan dia dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Diana menawarkan perkhidmatan seksual bagi tujuan persundalan dengan bayaran RM250 kira-kira jam 3.15 petang, pada 16 Oktober lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan dalam serbuan polis menerusi Ops Noda selepas pihak berkuasa menemui dia bersama seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan berbogel di sebuah bilik premis berkenaan.


Pemeriksaan lanjut mendapati Diana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan itu, termasuk minyak urut, kondom, tisu, tuala dan wang tunai RM250.


Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Diana turut mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia selepas pasnya tamat tempoh.


Hakim Mursyida Abd Halim menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula 29 Oktober 2026 dan memerintahkan wanita itu dihantar pulang ke Indonesia selepas selesai menjalani hukuman.


Kedua-dua kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani dan Marvind Kaliyani. Tertuduh tidak diwakili peguam.

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000


KUCHING - Helah dua beradik menjalankan kegiatan penipuan menerusi promosi permainan judi dalam talian tidak wujud membawa padah apabila masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam.


Kedua-dua tertuduh berusia 26 dan 22 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah selepas dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.


Mengikut pertuduhan, mereka bersubahat memperdaya mangsa supaya menyerahkan wang bagi menyertai aktiviti perjudian dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kalien, Padawan, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 23 Oktober lalu.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda.


Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang disyaki menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi menjalankan penipuan promosi judi dalam talian.


Sindiket terbabit dipercayai menawarkan ganjaran lumayan menerusi laman web perjudian palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Filipina dan China.


Dalam serbuan itu, polis merampas tiga telefon pintar dan dua komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Hasil analisis peranti turut menemukan petunjuk kewujudan aktiviti pengehosan laman web penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa dari kedua-dua negara berkenaan.


Kes dikendalikan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama.

Isnin, 26 Oktober 2026

Berjudi dalam talian di tempat awam, lelaki didenda RM2,700

Berjudi dalam talian di tempat awam, lelaki didenda RM2,700


KUCHING - Seorang lelaki didenda RM2,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berjudi dalam talian di sebuah kedai serbaneka di Matang, September lalu.


Majistret Nureina Syafika Mohd Najib turut memerintahkan Bryan Chok Zao Yao, 24, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Bryan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka di Lorong Lee Ling 1D, Matang, kira-kira jam 9 malam pada 20 September 2026.


Pemeriksaan terhadap Bryan yang berada di dalam premis itu menemukan sebuah telefon bimbit mengandungi unsur perjudian dalam talian.


Polis turut merampas telefon bimbit, sekeping kertas tertera ID dan kata laluan serta wang tunai RM40 sebelum menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.


Siasatan mendapati Bryan mengaku bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit ketika berada di tempat awam.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rabu, 21 Oktober 2026

Dua pelanggan positif dadah ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Miri

Dua pelanggan positif dadah ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Miri


MIRI - Dua pelanggan sebuah pusat hiburan di Pekan Sepupok, Subis, ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing menerusi operasi yang dijalankan polis, baru-baru ini.


Operasi serbuan dan pemeriksaan itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di premis hiburan.


Dalam operasi berkenaan, seramai 10 individu terdiri daripada lelaki dan wanita diperiksa. Hasil saringan awal mendapati dua pelanggan positif dadah sebelum mereka ditahan untuk membantu siasatan.


Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menggunakan dadah.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama serta maklumat yang disalurkan sehingga membantu menjayakan operasi tersebut.


PDRM turut menegaskan komitmen untuk mempergiat pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa, khususnya di pusat hiburan yang berpotensi menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.


Usaha berterusan itu bertujuan membanteras kegiatan dadah serta memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.


Ahad, 11 Oktober 2026

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri


Lapan wanita warga asing ditahan selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, Miri pada 4 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan terhadap premis berkenaan.


Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan bersama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun. Pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita terbabit disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO.



Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan direman selama dua hari sehingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing itu ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.


Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan operasi premis hiburan.

Ahad, 27 September 2026

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak


Penyanyi rap, Yonnyboii sedang mempertimbang untuk mengotakan janji dibuatnya, iaitu mencukur botak kepala sekiranya memenangi trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, malam tadi.


Janji yang pada asal dibuat sekadar 'main-main' itu ternyata mendatangkan kegelisahan buat dirinya apabila mengakui tidak sepenuhnya bersedia untuk mengorbankan rambut yang sudah disimpan selama ini.


Ia berikutan, Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, mengakui wajahnya akan kelihatan kurang menawan sekiranya tampil dengan imej botak, selain timbul rasa malu untuk berhadapan orang ramai.


"Isteri saya sebenarnya tak suka (imej botak), tapi saya sudah terjanji. Mungkin saya akan potong sikit saja, atau sekadar buat 'buzz cut', jadi saya minta bagilah peluang.


"Sebenarnya saya akan nampak tak okay kerana rupa saya buruk kalau botak," katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), malam tadi.


Menerusi AIM 25, Yonnyboii melakar kejayaan peribadi apabila lagu Tanya Tuhan dendangannya bersama bintang rap terkenal, Malique diumum sebagai pemenang kategori Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.


Kejayaan itu menyaksikan kolaborasi Yonnyboii dan Malique berjaya mengenepikan empat lagu lain seperti Last Time oleh Sonaone, 501 (Joe Flizzow), Kemana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickt dan Salammusik) dan Meta Dergama (K.O.I).


Dalam pada itu, Yonnyboii mengakui tidak menjangkakan keputusan kategori berkenaan akan memihak kepadanya kerana hadir ke AIM 25 tanpa sebarang jangkaan tinggi.


Katanya, dia juga tidak menerima sebarang pemakluman awal mengenai kemenangannya dalam kategori berkenaan.


"Memang tak jangka saya akan menang, tiada orang bagi tahu. Tiba-tiba bila keputusan diumumkan, saya menang. Jadi, agak terkejut juga," katanya.

Selasa, 15 September 2026

Lelaki dipenjara 15 bulan kerana cederakan kenalan dengan parang

Lelaki dipenjara 15 bulan kerana cederakan kenalan dengan parang


Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan kenalannya mengunakan sebilah parang, gara-gara tidak berpuas hati dengan wang hasil jualan buah mangga.


Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Razali Roshidi, 44, yang dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


Seksyen terbabit membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mencederakan seorang lelaki berusia 47 tahun dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah parang.


Kesalahan itu dilakukannya sekitar jam 12 tengah hari pada 20 November 2025 di sebuah rumah di Kampung Bintawa Hilir, Kuching.


Fakta kes mendedahkan mangsa pulang ke rumahnya pada hari kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada isterinya.


Setibanya di rumah, mangsa mendapati terdapat dua orang lelaki dikenali berada di hadapan rumah dengan membawa sebilah parang.


Salah seorang lelaki berkenaan mengamuk serta hendak penyerang mangsa, namun mangsa berjaya merampas parang berkenaan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka kecil pada bahagian leher dan bahagian lutut.


Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 20 November 2025.


Semasa tangkapan dibuat, polis merampas sebilah parang berhulu dan berwarna hitam daripada tertuduh.


Siasatan lanjut mendapati dua lelaki terbabit datang ke rumah mangsa untuk meminta wang hasil penjualan buah mangga daripada isteri mangsa.


Mangsa menyoal isterinya mengenai perkara tersebut, namun isteri mangsa menafikannya. Keadaan ini menyebabkan tertuduh mengamuk dan seterusnya mencederakan mangsa menggunakan parang.


Susulan kejadian itu juga, mangsa mengalami cedera ringan di bahagian kiri leher serta bawah lutut kaki kiri, yang kemudiannya disahkan oleh pegawai perubatan.


Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Radhiah Abdul Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sabtu, 5 September 2026

Ragut rantai ibu di rumah, pemuda dipenjara tujuh tahun, disebat lima kali

Ragut rantai ibu di rumah, pemuda dipenjara tujuh tahun, disebat lima kali

L


Tindakan seorang pemuda meragut rantai emas milik ibunya ketika berada di rumah membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching, pada Selesa.


Stanley Wong, 26, mengaku bersalah di hadapan Hakim Musli Ab Hamid sebaik didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap ibunya, 45, dengan meragut rantai emas milik mangsa.


Kesalahan itu dilakukannya dalam satu kejadian pada 27 Ogos 2026, sekitar jam 10.20 pagi di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Stutong Baru, Kuching.


Fakta kes mendedahkan mangsa sedang duduk di ruang tamu rumah apabila tertuduh datang dari arah belakang lalu menarik rantai emas yang dipakainya.


Tertuduh seterusnya melarikan diri membawa barang kemas berkenaan dan anggaran kerugian dilaporkan sekitar RM1,000. Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada hari sama.


Hasil siasatan mendapati kejadian rompak itu turut disaksikan oleh seorang anak perempuan mangsa berusia 14 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori autisme.


Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku mengaku melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, selain turut memandu arah ke tempat dia menjual barang kemas tersebut.


Menurut tertuduh juga, perbuatan tersebut dilakukannya kerana berada di bawah pengaruh dadah.


Bagaimanapun semasa rayuan pengurangan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan memberi alasan dia melakukan perbuatan berkenaan kerana memerlukan wang untuk membeli-belah.


Dalam pada itu difahamkan, hasil saringan awal air kencing tertuduh mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.


Selain itu, difahamkan semakan polis turut mendapati tertuduh mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah, serta beberapa kesalahan lain.

Khamis, 3 September 2026

Bekas pengurus perhubungan bank dihukum penjara tujuh tahun dan 16 sebatan, denda RM40 juta

Bekas pengurus perhubungan bank dihukum penjara tujuh tahun dan 16 sebatan, denda RM40 juta


Mahkamah Sesyen Kuching, pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, 16 sebatan dan denda RM40 juta terhadap seorang pengurus perhubungan sebuah bank antarabangsa yang mengaku bersalah atas 16 pertuduhan penipuan serta lapan pertuduhan pengubahan wang haram.


Kho Yung Kang, 39, didakwa menipu lapan warga emas berusia lingkungan 60 hingga 75 tahun membabitkan RM1.58 juta menerusi skim pelaburan bon tidak wujud dan melakukan pengubahan wang haram di bank tempat dia bekerja antara September 2022 dan Februari 2024.


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).


Hakim Iris Awen Jon memerintahkan Kho dihukum penjara antara tiga dan empat tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan menipu manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia dihukum penjara tiga tahun, denda RM5 juta atau empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2025. 


Menurut fakta kes, Kho bertanggungjawab membantu pelanggan dalam urusan pelaburan termasuk amanah saham, bon dan akaun tetap selain urusan kiriman wang tempatan atau asing.


Modus operandi tertuduh ialah menawarkan suatu pelaburan baharu yang kononnya menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelanggan bank tempat dia bekerja.


Kho kemudian memperoleh tandatangan dan pengesahan biometrik pelanggan ketika membuat representasi namun wang berkenaan tidak digunakan untuk tujuan pelaburan. 


Sebaliknya, wang itu dipindahkan daripada akaun pelanggan ke akaun pihak ketiga melalui DuitNow, pindahan antara bank atau Perintah Juruwang tanpa pengetahuan atau persetujuan pelanggan untuk kegunaan peribadi tertuduh.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Maryam Jamielah Ab Manaff manakala Kho tidak diwakili peguam.

Ahad, 30 Ogos 2026

Gara-gara RM1.70, dua premis berdepan denda sehingga RM100,000

Gara-gara RM1.70, dua premis berdepan denda sehingga RM100,000


Gara-gara mempamerkan harga mengelirukan, termasuk menyebabkan seorang pelanggan mengalami kerugian RM1.70, dua premis perniagaan di Kuching berdepan tindakan undang-undang dengan hukuman denda sehingga RM100,000.


Kesalahan itu dikesan dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak di beberapa premis perniagaan sekitar Kuching, Rabu lalu.


Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan untuk perdagangan.


Beliau berkata, kes pertama dikesan kira-kira jam 11.22 pagi di sebuah premis di Sejingkat apabila seorang peniaga mengenakan bayaran RM13.20 bagi satu produk sedangkan harga dipamerkan adalah RM11.50.


Menurutnya, perbezaan harga itu menyebabkan pelanggan mengalami kerugian RM1.70 dan pelanggan terbabit sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada peniaga serta meminta bayaran dikenakan mengikut harga yang dipamerkan.


"Bagaimanapun, peniaga berkeras dan enggan memberikan harga seperti yang dipaparkan," katanya dalam kenyataan.


Susulan itu, pihak penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan, empat resit jualan, satu tanda harga dan satu tanda harga promosi bagi membantu siasatan lanjut.


Matthew berkata, kes kedua pula dikesan kira-kira jam 12.43 tengah hari di sebuah premis di Stutong yang turut disyaki melakukan kesalahan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang dipamerkan.


Katanya, dalam pemeriksaan itu, penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan dan sepasang kasut dengan nilai rampasan RM29.90 untuk tujuan siasatan lanjut, manakala semua kes akan disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.


Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama bagi individu jika sabit kesalahan pertama


Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun manakala bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM200,000 bagi kesalahan berikutnya.


Selain itu, Matthew berkata, KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengelirukan pengguna berhubung harga barangan.

Rabu, 26 Ogos 2026

Lelaki didenda RM500 kerana tumbuk rakan sekursus selepas diprovokasi mesej WhatsApp

Lelaki didenda RM500 kerana tumbuk rakan sekursus selepas diprovokasi mesej WhatsApp


Seorang lelaki yang mengaku bersalah menumbuk rakan sekursus selepas diprovokasi menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp dijatuhi hukuman denda RM500 atau seminggu penjara di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.


Penolong Pendaftar Kanan Jessica Lee Suk Kiun menjatuhkan hukuman itu terhadap Timothy Jon Achon, 32, yang tidak diwakili peguam dan dituduh mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan.


Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan mangsa berusia 24 tahun dengan menumbuknya di bahagian rahang setelah diprovokasi oleh mangsa.


Kesalahan itu dilakukannya dalam satu kejadian pada 10 Ogos 2026, sekitar jam 11.40 malam di hostel sebuah agensi pembangunan industri pembinaan di Jalan Sultan Tengah, Kuching.


Fakta kes mendedahkan semasa dua sekawan terbabit menghadiri kursus di hostel tersebut, tertuduh menyerang mangsa menggunakan tangan sehingga mangsa mengalami bengkak pada bahagian pipi kiri.


Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh kemudiannya ditangkap. Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua lelaki tersebut merupakan rakan sekursus dan tinggal sebilik sejak dua bulan lalu.


Semasa kejadian, tertuduh menyerang mangsa selepas tidak berpuas hati diprovokasi dengan mesej dihantar oleh mangsa dalam kumpulan WhatsApp yang berbunyi, "standby all ready... jangan layap".


Terdapat saksi melihat secara langsung kejadian tersebut, yang turut cuba membantu meleraikan pergaduhan antara mereka. Malah, laporan pemeriksaan pegawai perubatan turut mengesahkan mangsa mengalami kecederaan.


Difahamkan, mangsa dikatakan sering dibuli dengan kata-kata tidak disenangi selain menyinggung perasaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan.

Jumaat, 21 Ogos 2026

Lelaki miliki wang lebih RM15,000 secara tidak sah didenda RM500

Lelaki miliki wang lebih RM15,000 secara tidak sah didenda RM500


Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuching, semalam setelah didapati bersalah memiliki wang berjumlah RM15,154 secara tidak sah di dalam akaun bank miliknya.


Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Hafiq Abdul Rahman, 33, yang mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di RH Plaza, Kuching pada 6 Ogos 2024.


Berdasarkan fakta kes, pemilik wang berkenaan (pengadu) telah menerima beberapa panggilan telefon daripada individu berbeza yang mendakwa pengadu mempunyai kes.


Pengadu dimaklumkan bahawa sekiranya dia ingin membersihkan namanya, dia perlu membuat pembayaran ke akaun bank diberikan individu tersebut.


Berikutan itu, pengadu membuat dua transaksi berbeza menerusi mesin ATM, masing-masing berjumlah RM9,097 dan RM6,057 ke dalam akaun bank atas nama tertuduh.


Pengadu akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


Hasil siasatan polis membawa kepada penangkapan tertuduh susulan dia merupakan pemilik akaun bank tersebut.


Siasatan lanjut polis seterusnya mendapati tertuduh secara tidak langsung terlibat dalam transaksi berjumlah RM15,154 yang dipindahkan daripada akaun pengadu ke akaun bank miliknya tanpa tujuan yang sah di sisi undang-undang.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat, 31 Julai 2026

Lelaki miliki 10 rekod jenayah ditahan curi wayar tembaga untuk beli dadah

Lelaki miliki 10 rekod jenayah ditahan curi wayar tembaga untuk beli dadah


Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 10 rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah ditahan selepas dipercayai mencuri wayar tembaga di tiga pencawang elektrik milik Sarawak Energy sebelum menjualnya kepada sebuah premis barangan lusuh bagi mendapatkan wang membeli dadah.


Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan (DSP) Mathew Manggie berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan bersama pasangan suami isteri yang disyaki membeli wayar tembaga curi berkenaan dalam satu serbuan di pekarangan Balai Polis Betong semalam.


Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Disember 2025 di Lot 141, Blok 8 Awik-Krian Land District, Taman Krian Jaya, Saratok apabila pengadu, seorang peniaga berusia 75 tahun mendapati pintu pencawang elektrik telah dibuka dan wayar tembaga di dalamnya hilang.


"Hasil siasatan mendapati suspek mengaku bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal dari Spaoh ke tiga lokasi berasingan, iaitu Taman Krian Jaya, Simpang Saratok dan Simpang Awik.


"Suspek menggunakan playar untuk memotong wayar tembaga sebelum melarikan diri. Dia juga mengaku menjual semua wayar tembaga yang dicuri kepada pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan membeli barangan lusuh di Jakar, Sarikei pada harga RM120," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.


Sementara itu, pasangan suami isteri berusia 40 dan 38 tahun yang turut ditahan didapati negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut," ujarnya.


Polis menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri, bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian wayar kuprum di beberapa substesen elektrik milik Sarawak Energy di daerah ini yang dipercayai berlaku pada Disember tahun lalu. - Foto IPD Saratok.

Rabu, 29 Julai 2026

Rogol anak kandung sejak usia sembilan tahun, bapa dipenjara 50 tahun, 24 sebatan

Rogol anak kandung sejak usia sembilan tahun, bapa dipenjara 50 tahun, 24 sebatan


Seorang lelaki berusia 47 tahun dihukum penjara 50 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan merogol anak kandungnya.


Hakim turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada mangsa dan sekiranya gagal berbuat demikian, akan dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol sumbang mahram terhadap anak kandungnya.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 21 tahun hidup dalam penderitaan lebih sedekad apabila menjadi mangsa nafsu serakah bapanya sejak berusia sembilan tahun.


Siasatan mendapati, tertuduh melakukan perbuatan keji itu secara berulang kali dengan menggunakan ugutan dan kekerasan bagi memastikan mangsa tidak melawan serta tidak mendedahkan kejadian dialaminya kepada sesiapa.


Malah, mangsa pernah memberanikan diri memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga ketika masih bersekolah.


Namun, laporan polis tidak dapat dibuat ketika itu berikutan ugutan dan kekerasan dilakukan tertuduh terhadap ahli keluarga mangsa sehingga mereka hidup dalam ketakutan.


Akibat trauma dan kawalan berterusan tertuduh, mangsa turut dipaksa berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan Tiga sebelum terus hidup dalam ketakutan di bawah cengkaman bapanya.


Bagaimanapun, pada 5 Jun lalu kira-kira jam 8 malam, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dari kediamannya sebelum mendapatkan perlindungan daripada Tuai Rumah.


Tuai Rumah kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan, sekali gus membuka jalan kepada siasatan.


Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan terperinci sebelum berjaya menahan tertuduh dan mendakwanya di Mahkamah Sesyen Miri.

Ahad, 14 Jun 2026

Isteri kena penjara, denda akibat reka cerita konon dirompak demi raih perhatian suami

Isteri kena penjara, denda akibat reka cerita konon dirompak demi raih perhatian suami

(Foto dijana AI)

Seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu konon dirompak kerana mahu menarik perhatian suami yang didakwa mempunyai hubungan dengan wanita lain.


Akibatnya wanita berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Miri selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata tertuduh membuat laporan mendakwa dirinya menjadi mangsa rompakan pada 27 Mei lalu kira-kira jam 10 malam di tepi jalan berhampiran Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut.


Menurutnya, berdasarkan laporan itu, wanita terbabit mendakwa disamun empat lelaki tidak dikenali yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux.


"Wanita itu turut mendakwa kehilangan barang kemas termasuk rantai, cincin, gelang tangan serta wang tunai RM350 dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM3,130.


"Siasatan dilakukan dan didapati keterangan wanita terbabit mencurigakan selain tiada saksi bebas yang mengesahkan kejadian tersebut.


"Ia membongkar bahawa kejadian rompakan itu sebenarnya tidak berlaku. Wanita yang berasal dari Limbang itu akhirnya mengaku laporan tersebut direka semata-mata untuk mendapatkan perhatian suaminya yang bekerja di kawasan luar pesisir (offshore) Pulau Melayu," katanya.


Katanya, semua barang yang didakwa hilang ditemui semula selepas disorok oleh tertuduh di dalam bonet kenderaan miliknya sendiri.


Tambah beliau tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu kerana ia membazirkan masa, tenaga serta sumber polis.

Rabu, 27 Mei 2026

Sumbang mahram anak tiri hingga mengandung, lelaki dipenjara 51 tahun dan 24 sebatan

Sumbang mahram anak tiri hingga mengandung, lelaki dipenjara 51 tahun dan 24 sebatan


Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 51 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Semuja di Serian, Sarawak pada Selasa (26 Mei) akibat melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya berusia 11 tahun, dikatakan hampir setiap hari sejak Mac lalu sehingga mangsa mengandung.


Tertuduh berusia 32 tahun itu mengaku bersalah sebaik didakwa atas tiga pertuduhan, kesemuanya dibuat mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.


Hakim Musli Ab Hamid menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun berserta lapan sebatan bagi setiap satu pertuduhan dihadapi tertuduh, dengan hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara berasingan.


Musli turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanannya, selain mengenakan pengawasan polis selama dua tahun terhadap tertuduh selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan seorang remaja perempuan berusia 11 tahun yang juga anak tirinya, di ruang tamu sebuah rumah di Tebedu pada 12 Januari 2026 sekitar jam 4 pagi.


Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 19 Januari 2026, jam lebih kurang 2.15 pagi di dalam bilik tidur mangsa di rumah sama, manakala pertuduhan ketiga pada Mac 2026, di tempat yang sama.


Berdasarkan keterangan kes, seorang pegawai perubatan (pengadu) di sebuah klinik kesihatan di Tebedu menerima seorang pesakit iaitu mangsa berusia 11 tahun yang mengadu kurang sihat dan muntah-muntah pada 14 Mei 2026 sekitar jam 2 petang.


Pengadu seterusnya menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa termasuk Ujian Kehamilan Air Kencing (UPT) yang mendedahkan keputusan sebagai positif.


Pemeriksaan lanjut menerusi imbasan ultrabunyi mendapati mangsa mengandung kira-kira lapan minggu dengan kandungan dalam rahim berukuran 1.55 sentimeter serta mempunyai denyutan jantung.


Hasil temubual pengadu ke atas mangsa kemudiannya mendapati mangsa telah dirogol oleh bapa tirinya hampir setiap hari sejak bulan Mac tahun ini.


Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada hari sama, sekitar jam 6.25 petang.


Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya dalam tiga kejadian berasingan pada Januari dan Mac lalu.


Selain itu, pegawai perubatan turut mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada hymen mangsa, malah mangsa juga disahkan mengandung dengan kandungan berusia lapan minggu.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar sementara kes disiasat oleh Inspektor Victor Buckand Dusim Oh. Tertuduh tidak diwakili peguam. - Sumber Utusan Borneo.


Tertuduh (tengah) diiringi polis semasa berada di Mahkamah Sesyen Semuja, semalam, turut kelihatan, Victor (kiri).

Ahad, 29 Mac 2026

Dakwaan Sabah, Sarawak terima 'layanan istimewa' harga diesel tidak tepat - G57

Dakwaan Sabah, Sarawak terima 'layanan istimewa' harga diesel tidak tepat - G57


Naratif yang mendakwa Sabah dan Sarawak menerima 'layanan istimewa' berhubung harga diesel lebih rendah berbanding Semananjung adalah tidak tepat serta mengelirukan, kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.


Beliau berkata, diesel bukan sekadar pilihan bahan api, sebaliknya menjadi nadi kehidupan masyarakat terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.


Katanya, penggunaan diesel di Sabah meliputi pelbagai sektor termasuk pengangkutan darat, bot, logistik serta penjanaan elektrik yang menjadi keperluan harian rakyat.


"Hakikatnya, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang kekal sekitar RM2.15 seliter bukan satu bentuk keistimewaan, tetapi satu keperluan asas yang tidak boleh dinafikan.


"Di Sabah dan Sarawak, diesel bukan pilihan, ia adalah nadi kehidupan yang digunakan secara meluas untuk pengangkutan darat, bot, sektor logistik serta penjanaan elektrik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya, keadaan jalan raya di banyak kawasan di Sabah juga masih mencabar yang mana sebahagian laluan tidak berada pada tahap memuaskan sehingga tidak memungkinkan penggunaan kenderaan biasa.


"Ramai rakyat terpaksa bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan diesel sebagai keperluan harian.


"Ini bukan soal pilihan gaya hidup, tapi ini soal keperluan untuk bergerak dan meneruskan kehidupan. Pada masa sama, kos hidup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi, dengan banyak barangan asas dijual pada harga lebih mahal berbanding Semenanjung," katanya.


Mengulas lanjut beliau berkata, Sabah dan Sarawak bukan sekadar pengguna subsidi, sebaliknya penyumbang utama kepada hasil petroleum negara.


"Bagi tempoh 2018 hingga 2024, hasil petroleum negara dianggarkan mencecah RM775.2 bilion. Daripada jumlah itu, Sarawak menyumbang sekitar RM285.4 bilion, diikuti Semenanjung RM284.8 bilion dan Sabah sekitar RM205 bilion.


"Ini bermakna Sabah dan Sarawak secara keseluruhan menyumbang lebih separuh daripada hasil petroleum Malaysia," katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, kedua-dua negeri tersebut hanya menerima sekitar lima peratus royalti petroleum, sedangkan dalam semangat pembentukan Malaysia 1963, terdapat tuntutan agar sehingga 40 peratus hasil dikembalikan kepada negeri-negeri berkenaan.


"Realiti ini jelas menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak telah lama menyumbang besar kepada negara, tetapi masih berdepan jurang dalam agihan hasil.


"Tambahan pula, sumber petroleum di Semenanjung semakin berkurangan, manakala penemuan baharu kini lebih tertumpu di Sabah dan Sarawak, menjadikan kedua-dua wilayah ini sebagai tulang belakang masa depan industri minyak dan gas negara," katanya.


Justeru beliau menasihati orang ramai agar berhenti memainkan sentimen sempit dan mula melihat isu ini secara matang, berfakta dan adil.