Suspek yang memukul isterinya yang hamil sehingga mangsa keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani, Khamis lalu, didapati pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua perkahwinan suspek adalah membabitkan pasangan yang bekerja sebagai penjawat awam di beberapa negeri.
Beliau berkata, bagaimanapun siasatan awal mendapati suspek ketika ini hanya mempunyai tiga isteri, manakala enam wanita lain berstatus bekas isteri selepas mereka berpisah.
"Kejadian terbaru membabitkan suspek berusia 43 tahun itu berlaku Khamis lalu, dan laporan awal dibuat abang mangsa berusia 45 tahun yang mendapat tahu daripada pihak hospital bahawa adiknya dipukul suami.
"Pada 26 April lalu, mangsa sendiri membuat laporan dan mengadu sakit teramat sangat dan pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk kiri dan kanan serta tulang belakang serta mengalami keguguran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Adzli berkata, mangsa mendakwa dipukul berulang kali dengan besi, penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu.
"Suspek adalah individu sama terbabit dengan kes yang pukul isteri di Johor Baharu dan dia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara, namun dia dalam proses rayuan dan masih dalam jaminan mahkamah sebanyak RM7,000.
"Sebaik sahaja suspek dikenal pasti, kita tubuhkan dua pasukan mengesannya iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum dia berjaya ditahan di sebuah inap desa di bandar raya ini pada jam 4.45 petang semalam," katanya.
Adzli berkata, suspek dipercayai bersembunyi di inap desa terbabit dan polis turut merampas empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Mercedes Benz.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.
"Suspek mempunyai empat rekod jenayah membabitkan jenayah pukul dan ugutan yang dilakukan terhadap isteri dan teman wanitanya sebelum ini.
"Selain itu suspek turut terbabit dalam kes menyembunyikan kelahiran pada 2018 dan kes masih dalam bicarakan di Alor Setar," katanya.
Adzli berkata, siasatan awal ke atas suspek mendapati perkahwinannya yang terakhir adalah bersama mangsa di negara jiran.
Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan 326 Kanun Keseksaan.























