Khamis, 14 Mei 2026

Geng pecah rumah warga China ditahan, cuba rempuh anggota polis


Tindakan empat lelaki warga China memecut laju kenderaan dan cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) mengundang padah apabila mereka ditahan di Kampung Wai, Kuala Perlis.


Penahanan semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah itu turut membongkar penemuan pelbagai peralatan, termasuk alat penyamaran menggunakan rambut palsu.


Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata tangkapan jam 4.30 petang semalam itu dilakukan susulan maklumat awam mengenai kenderaan jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.


Beliau berkata, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi menghampiri kenderaan itu sambil memperkenalkan diri serta mempamerkan kad kuasa.


"Bagaimanapun, kenderaan berkenaan secara tiba-tiba memecut laju untuk melarikan diri, namun dapat diekori pihak polis.


"Suspek kemudian cuba merempuh SJR di Kampung Wai, namun kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas di laluan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.


Yusharifuddin berkata, ketika anggota polis sekali lagi mengarahkan suspek membuka pintu, keempat-keempat lelaki itu enggan memberikan kerjasama.


"Suspek secara tiba-tiba bertindak mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota polis, memaksa pasukan bertindak memecahkan cermin belakang serta cermin penumpang hadapan untuk membuka pintu.


"Semua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika tangkapan, namun mereka berjaya diberkas dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis," katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah


"Antara barangan dirampas termasuk empat batang besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan satu alat berbentuk 'T' yang diubah suai dipercayai bertindak sebagai 'master key'.


"Polis turut merampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set 'walkie-talkie', lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport serta kenderaan Toyota Innova yang didapati disewa di Kuala Lumpur," katanya.


Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek berusia 45 hingga 52 tahun masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.


"Semakan mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lalu dan saringan awal air kencing adalah negatif.


Keempat-empat suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.


EmoticonEmoticon