Ahad, 2 Mei 2021

32 tahun hidup bersendirian di pulau terpencil, lelaki berusia 81 tahun akhirnya akur diarah berpindah


Boleh anda bayangkan bagaimana rasanya tinggal sendirian dan terasing dari dunia luar? Itulah dilakukan oleh Mauro Morandi sejak 32 tahun lalu, apabila mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Budelli, Itali sebagai penjaga.


Bagaimanapun Mauro, 81, kini terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas akur dengan perintah pihak berkuasa yang memintanya meninggalkan pulau itu.


Itu pun selepas pihak berkuasa di Sardinia, Itali sudah beberapa kali memberi amaran dan mengugut untuk mengusirnya secara paksa dari pulau itu, Mauro tetap dengan keputusannya untuk tinggal di situ.


"Saya akan pergi dan berharap Budeli akan dilindungi seperti telah saya lakukan selama 32 tahun lalu," katanya kepada BBC.



Mauro telah tinggal di Budelli sejak tahun 1989. Pada mulanya, Mauro tiba di Budelli secara tidak sengaja. Pada masa itu, Mauro cuba berlayar ke Polinesia. Namun, kapal itu mengalami masalah, dan akhirnya mendarat di Budelli.


Sejak itu, Mauro memutuskan untuk tinggal di Budelli. Dia terpesona dengan keindahan pulau kecil itu dan mengambil keputusan untuk tinggal di situ. Kebetulan, penjaga pulau itu sudah mahu bersara dan Mauro mengambil alih tugasnya sehingga kini.


Semasa tinggal di Budelli, Mauro tinggal di pondok yang didirikannya di tempat perlindungan bekas Perang Dunia II. Dia bekerja membimbing pelancong yang datang ke Budelli, dan mengurus ekosistem di sana.


Namun, peranannya sebagai penjaga tidak lagi berfungsi selepas Taman Nasional La Maddalena mengambil alih pemilikan pulau itu pada 2015. Sejak itu Mauro menghabiskan masanya cuba mempertahankan haknya tinggal di pulau itu sehinggalah dia berputus asa dan bersetuju berpindah daripada pulau itu.


Pada tahun 2020 presiden Taman Negara La Maddalena, mengatakan kepada bahawa Mauro telah melakukan perubahan secara tidak sah kediamannya. Bagi membantu Mauro memulakan kehidupan baharu, pihak berwajib mencarinya sebuah apartment kecil sebagai tempat tinggal baharunya. - Sumber BBC News






EmoticonEmoticon