Isnin, 16 November 2026

Benarkah kakitangan tidak berdaftar jalankan rawatan gigi, doktor didenda RM70,000


PETALING JAYA - Seorang doktor gigi didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dan membenarkannya menjalankan prosedur pergigian di klinik miliknya, dua tahun lalu.


Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Dr Tong Soo Huan, 38, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Mahkamah mengenakan denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua. Dr Tong turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 13 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Dr Tong didakwa menggaji individu yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) serta membenarkannya menjalankan amalan pergigian di sebuah klinik di Jalan SS21/1, pada jam 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024.


Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 68 dan Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018, yang masing-masing memperuntukkan hukuman maksimum denda RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.


Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Haznita Zainal Abidin memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam dan keselamatan pesakit.


Beliau berkata, kakitangan berkenaan yang hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati melakukan imbasan gigi menggunakan peranti khas iTero Element, sedangkan pengendaliannya memerlukan kelayakan profesional berkaitan.


Bagaimanapun, peguam bela, Rejinder Singh memohon hukuman lebih ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan kesal atas kegagalan mengawal kakitangan klinik.


Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi seorang pesakit menggunakan alat pengimbas intraoral berkenaan.


Siasatan kemudian mendapati kakitangan itu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian, manakala Dr Tong gagal mengemukakan sijil pengamalan tahunan individu berkenaan.


EmoticonEmoticon