PHNOM PENH - Tindakan seorang pegawai kanan Kementerian Galian dan Tenaga Kemboja melepaskan tembakan akibat mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit berakhir dengan kejutan apabila lelaki yang ditembaknya rupa-rupanya anak kandungnya sendiri.
Menurut laporan Khmer Times, kejadian berlaku di sebuah kampung di pinggir Phnom Penh pada Rabu lalu, selepas lelaki terbabit dipercayai bertindak agresif kerana dibelenggu syak wasangka terhadap isterinya.
Insiden tegang itu bermula apabila penduduk mendakwa melihat sebuah kereta Ford mengejar sebuah Toyota Prius sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Aksi kejar-mengejar itu berakhir apabila kedua-dua kereta tiba di jalan mati, sekali gus mencetuskan pertengkaran yang semakin memuncak.
Dalam keadaan berang, lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki yang disangkanya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Malangnya, satu daripada tembakan itu mengenai bahagian abdomen mangsa.
Keadaan bertukar mengejutkan apabila suspek menghampiri mangsa dan menyedari lelaki yang terbaring akibat tembakan itu sebenarnya anak kandungnya sendiri.
Mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.
Kejadian itu mencetuskan perhatian kerana tindakan terburu-buru akibat syak wasangka bukan sahaja membawa kepada insiden berdarah, malah mengakibatkan seorang bapa menembak anaknya sendiri.

EmoticonEmoticon