Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan

Ahad, 18 Oktober 2026

Seksa, bunuh, tanam: Polis buru 5 suspek dikenali Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak

Seksa, bunuh, tanam: Polis buru 5 suspek dikenali Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak


SHAH ALAM - Polis sedang memburu lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai diculik, dikurung, diseksa sebelum dibunuh dan ditanam di Semenyih, Kajang, pada hujung September lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata 15 suspek termasuk dua warga asing sudah ditahan setakat ini, dengan sebahagiannya telah didakwa di mahkamah.


Lima suspek yang masih bebas dikenali sebagai Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak, berusia antara 35 hingga 48 tahun. Polis percaya mereka masih berada di Selangor dan mempunyai kaitan dengan kegiatan gangsterisme serta rekod jenayah dan dadah.


Menurutnya, mangsa dipercayai dilarikan sekumpulan individu menggunakan kereta dari kawasan Ampang Waterfront antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lalu, selepas isterinya membuat laporan kehilangan.


Mayat mangsa ditemukan pada 27 September selepas polis dibawa ke lokasi pembunuhan dan tempat mangsa ditanam di sekitar Semenyih. Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada beberapa luka hirisan pada leher.


Siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai bermotifkan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.


Polis turut merampas dua laras senapang, sebuah kereta Proton Wira dan sebilah cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa.


Shazeli berkata, sebahagian suspek telah didakwa di Mahkamah Ampang dan Bangi atas pelbagai pertuduhan, termasuk menculik, membunuh, bersubahat dalam pembunuhan serta kesalahan berkaitan senjata api dan imigresen.


Siasatan dan usaha mengesan lima suspek yang masih bebas diteruskan.


Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri

Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri


PHNOM PENH - Tindakan seorang pegawai kanan Kementerian Galian dan Tenaga Kemboja melepaskan tembakan akibat mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit berakhir dengan kejutan apabila lelaki yang ditembaknya rupa-rupanya anak kandungnya sendiri.


Menurut laporan Khmer Times, kejadian berlaku di sebuah kampung di pinggir Phnom Penh pada Rabu lalu, selepas lelaki terbabit dipercayai bertindak agresif kerana dibelenggu syak wasangka terhadap isterinya.


Insiden tegang itu bermula apabila penduduk mendakwa melihat sebuah kereta Ford mengejar sebuah Toyota Prius sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.


Aksi kejar-mengejar itu berakhir apabila kedua-dua kereta tiba di jalan mati, sekali gus mencetuskan pertengkaran yang semakin memuncak.


Dalam keadaan berang, lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki yang disangkanya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.


Malangnya, satu daripada tembakan itu mengenai bahagian abdomen mangsa.


Keadaan bertukar mengejutkan apabila suspek menghampiri mangsa dan menyedari lelaki yang terbaring akibat tembakan itu sebenarnya anak kandungnya sendiri.


Mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.


Kejadian itu mencetuskan perhatian kerana tindakan terburu-buru akibat syak wasangka bukan sahaja membawa kepada insiden berdarah, malah mengakibatkan seorang bapa menembak anaknya sendiri.

Jumaat, 16 Oktober 2026

Mayat warga emas ditemui berlumuran darah di tepi jalan, lelaki kurang siuman ditahan

Mayat warga emas ditemui berlumuran darah di tepi jalan, lelaki kurang siuman ditahan


Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kecederaan di lengan, kepala dan muka di tepi jalan dalam kejadian di Permas Jaya, Johor Bahru semalam.


Difahamkan, mangsa yang juga warga tempatan berusia 67 tahun dipercayai maut akibat dipukul berkali-kali dengan objek tumpul di kepala.


Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 4.54 petang.


"Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, dipercayai kurang siuman yang terbabit dalam kejadian berkenaan.


"Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, jam 6 petang semalam.


"Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.



Ng berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, bagaimanapun ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.


Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Beliau berkata, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.


"Bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Sultan Ismail, hari ini mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul pada kepala," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan.

Rabu, 14 Oktober 2026

Dituduh bunuh rakan senegara, lelaki Rohingya berdepan hukuman mati

Dituduh bunuh rakan senegara, lelaki Rohingya berdepan hukuman mati


Lelaki etnik Rohingya dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya pada 18 September lalu.


Tertuduh, Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Vinoshen. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Mohammed Tuasin, 18, di sebuah bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, di Kota Bharu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 4.20 petang hingga 9.38 malam pada 18 September lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi status laporan pakar bedah siasat.


Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar dan tetak di leher berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid.

Selasa, 13 Oktober 2026

Bunuh, tanam mayat: Empat lelaki didakwa membunuh, subahat

Bunuh, tanam mayat: Empat lelaki didakwa membunuh, subahat


Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan seorang penjual durian yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih, Selangor, bulan lepas.


Asrul Siwi, 32; Amirul Maamur Rosli, 27; Amri Rizani Darus, 36, dan warga Indonesia Rijal Haryono, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.


Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, Asrul dan Amirul Maamur bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28, Sungai Lalang, Mukim Ulu Semenyih di Hulu Langat, antara 24 dan 25 September lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.


Dua lagi tertuduh, Amri Rizani dan Rijal pula didakwa bersubahat membantu Asrul dan Amirul Maamur membunuh mangsa dengan cara melarikan si mati serta membantu mengasah cangkul di tempat dan masa yang sama.


Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pada 29 September lepas, media melaporkan seorang penjual durian disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu menaiki sebuah kereta jenis Honda dari sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya, sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih.




Kes penemuan dua guni tulang manusia: Lelaki Rohingya direman 7 hari

Kes penemuan dua guni tulang manusia: Lelaki Rohingya direman 7 hari


Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Oktober depan, bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan rangka manusia.


Suspek berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar, pada jam 9.46 pagi sebelum dibawa keluar selepas prosiding permohonan reman selesai pada jam 10.09 pagi.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan pada jam 12 tengah hari semalam, di sebuah rumah di Kuala Perlis.


Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas telefon pintar berserta sekeping kad sim bagi membantu siasatan.



"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang pengakuan diperoleh daripada suspek yang mendakwa hanya mengetahui mengenai kejadian penemuan rangka itu melalui kumpulan aplikasi WhatsApp sahaja.


"Suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau serta Kota Sarang Semut, Kedah, sejak dua bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Yusharifuddin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2022, namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif sebarang penyalahgunaan dadah.


Sebelum ini, media pada 29 September lalu melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Untuk rekod, pada 26 Julai lalu, rangka tulang manusia pertama ditemukan di dalam sebuah bungkusan guni yang sudah reput di kebun berhadapan kilang beras di Kampung Behor Mali, Kangar, dan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Bagaimanapun guni putih kedua berisi sisa tulang manusia ditemukan di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kira-kira 31.1 meter dari lokasi pertama pada 5 Ogos lalu.


Polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin, 12 Oktober 2026

Curi motosikal disyaki motif remaja dikurung, diseksa hingga maut

Curi motosikal disyaki motif remaja dikurung, diseksa hingga maut


Remaja lelaki yang ditemui maut dalam semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, pada 8 Oktober lalu dikurung selama dua hari, diseksa, digunting rambut hanya kerana dituduh mencuri motosikal.


Lebih menyedihkan, mangsa berusia 18 tahun itu turut dipukul dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan di lokasi berkenaan. Mayat mangsa kemudian ditemui orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.


Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian pada jam 8.05 pagi Khamis lalu.


Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.


"Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati punca kematian disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul (blunt force trauma to the head).


"Hasil siasatan dan risikan juga mendapati motif kejadian berpunca dari kemarahan suspek utama berusia 24 tahun selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan menyatakan mangsa mencuri motosikal," katanya pada sidang media di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.


Susulan itu, Adzli berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam hari sama.


Katanya, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Honda City warna perak, gunting dan satu Mykad dipercayai milik mangsa.


Beliau berkata, daripada yang 14 yang ditahan, hanya seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah.


Katanya, seramai 12 daripada 14 suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini manakala dua lagi suspek di bawah umur direman selama lima hari sehingga esok untuk membantu siasatan.


"Motif kejadian adalah mangsa berusia 18 tahun dituduh mencuri motosikal salah seorang daripada suspek berkenaan tanpa ada laporan polis.


"Jadi suspek buat siasatan sendiri serta menangkap mangsa pada 5 Oktober lalu di Pendang dan membawanya ke rumah di Gurun sebelum mengurung mangsa selama dua hari.


"Selama dua hari itulah mangsa dipukul dan diseksa serta rambutnya dipotong hinggalah akhirnya pada malam 7 Oktober mangsa didapati sudah meninggal.


"Mereka juga tergamak membuang mayat mangsa di tepi jalan esoknya, sebelum ditemui orang awam jam 8 pagi," katanya.


Adzli berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai sekiranya berlaku kejadian sekiranya orang itu mencuri atau merompak, buat laporan polis dan serahkan siasatan kepada pihak berkuasa untuk bertindak.


Beliau berkata, orang awam boleh bertindak menangkap tetapi dengan had tertentu bukannya mengurung sehingga dua hari dan pukul sehingga mati.


"Gunting dirampas kerana ia digunakan untuk menggunting rambut mangsa, namun objek tumpul yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemui.


"Siasatan mendapati tiada laporan berkaitan motosikal didakwa dicuri mangsa. Mungkin sudah dipulangkan balik, walaupun mangsa dituduh mencuri ia tidak bermakna tindakan boleh diambil sesuka hati.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis berjaya menyelesaikan kes ini hanya dalam tempoh empat jam dengan tertangkapnya 14 suspek," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemui terbaring di tepi semak Khamis minggu lalu dengan kecederaan di muka dan kepala dipercayai mangsa bunuh.


Mangsa dikenali sebagai Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui berpakaian sukan hitam kuning itu ditemui orang awam pada jam 8 pagi hari berkenaan.