Harga minyak mentah global diramal kekal tinggi walaupun resolusi peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dicapai dalam masa terdekat selepas mengambil kira keadaan bekalan di pasaran fizikal yang kekal meruncing.
Menurut nota penyelidikan terkini yang dikeluarkan oleh BIMB Securities Research, harga penanda aras Dated Brent terus didagangkan tinggi dan melepasi paras AS$120 setong. Situasi berkenaan mencatatkan harga premium sekitar AS$30 setong lebih tinggi berbanding kontrak hadapan Brent sejak awal bulan ini.
Gencatan senjata yang dipersetujui baru-baru ini sememangnya memberikan kelegaan sementara kepada sentimen pasaran kewangan. Walau bagaimanapun, perkembangan berkenaan dilihat tidak mengecilkan premium pasaran secara ketara, sekali gus membuktikan keadaan bekalan minyak fizikal masih berdepan dengan kekangan.
"Kami berpendapat bahawa premium berterusan yang dicatatkan oleh penanda aras Dated Brent berbanding kontrak hadapan mencerminkan premium risiko geopolitik serta keketatan dalam pasaran fizikal," kata Penganalisis BIMB Securities Research, Azim Faris Ab Rahim di dalam laporan berkenaan.
Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa gangguan fizikal masih jelas kelihatan merentasi sistem rantaian minyak dan gas. Sebanyak kira-kira empat hingga lima juta tong sehari bekalan telah terjejas melibatkan sektor huluan, penapisan, serta logistik.
Walaupun jumlah gangguan bekalan berkenaan dianggap tidak mendatangkan tahap kemusnahan yang teruk jika dibandingkan dengan purata permintaan global sebanyak 105 juta tong sehari, namun skop gangguan merentasi rantaian nilai terus mengekang sistem pasaran.
Sebahagian besar daripada kerosakan fasiliti diklasifikasikan sebagai tahap sederhana. Hal ini memberikan petunjuk bahawa proses pemulihan infrastruktur berkenaan masih boleh dilaksanakan, namun ia mengambil masa.
Rentetan daripada itu, aliran pengeluaran dan eksport minyak mentah dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Bahagian penyelidikan berkenaan menjangkakan aktiviti khususnya yang melalui Selat Hormuz hanya akan kembali normal secara beransur-ansur bermula suku ketiga tahun ini dan ke atas.
"Kami percaya pelarasan ini diperlukan untuk mencerminkan dengan lebih baik impak ekonomi sebenar daripada keadaan bekalan fizikal yang ketat, daripada terlalu bergantung kepada harga hadapan sebagai penanda aras kewangan, yang mungkin kurang menyatakan tekanan jangka pendek dalam sistem," tegas Azim Faris.
Namun begitu, kebergantungan yang melampau terhadap pasaran hadapan dibimbangi boleh menyebabkan kelekaan dan mendedahkan kedudukan pelabur kepada risiko kelemahan pasaran sebenar.
Krisis ekonomi dan gangguan rantaian bekalan fizikal yang melanda dunia masa kini tidak akan selesai sekelip mata, walaupun resolusi peperangan antara AS dan Iran dicapai dalam masa terdekat.
Keadaan ini didorong oleh realiti kerosakan besar yang telah menimpa infrastruktur tenaga di wilayah bergolak berkenaan.
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini mendedahkan, tempoh yang panjang amat diperlukan bagi memastikan keadaan kembali ke paras normal seperti sebelum krisis meletus pada 28 Februari lalu.
Menurutnya, kesan kerosakan fasiliti di Asia Barat akan membelenggu pasaran untuk satu jangka masa yang amat membimbangkan.
"Ada kemusnahan loji dan ia mungkin mengambil masa sehingga mengambil lima tahun untuk dipulihkan. Dengan konservatif, lima tahun untuk kembali ke paras normal," katanya.
Kelewatan pemulihan ini berlaku kerana proses membaiki fasiliti pemprosesan bukanlah satu tugas yang mudah atau boleh disiapkan segera. Pemulihan tekanan telaga minyak serta pembinaan semula peralatan pemprosesan berteknologi tinggi memerlukan tempoh masa pembuatan dan pemasangan yang panjang.

EmoticonEmoticon