Pemilik kedai mencuci kenderaan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang anggota Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjalankan tugas, minggu lalu.
Tertuduh, Abdul Azim A Karim, 37, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meninggikan suara serta menuduh anggota pemeriksa PERKESO lelaki berusia 32 tahun menjalankan pemeriksaan tanpa izin dengan mengeluarkan kata-kata "aku ingat muka kau, kau tunggu".
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Parit Jalil, Batu Pahat pada jam 2.50 petang, 19 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama dua lagi anggota pemeriksa PERKESO menjalankan pemeriksaan berhubung caruman pekerja di kedai mencuci kenderaan terbabit.
Sewaktu pengadu menjalankan pemeriksaan di belakang premis terbabit, tertuduh tidak berpuas hati. Tertuduh mendakwa pengadu menjalankan pemeriksaan tanpa izinnya.
Pada masa sama, tertuduh juga didapati bercakap kasar dan berkata "aku ingat muka kau, kau tunggu" terhadap anggota terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

EmoticonEmoticon