Seorang wanita berstatus janda dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki bukan Islam yang juga suami orang di sebuah bilik hotel di Padang Serai, Kulim, hari ini.
Wanita berusia 42 tahun itu memberi alasan datang dari Terengganu ke daerah ini kerana mempunyai urusan bank sebaliknya bertemu lelaki berkenaan.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata tangkapan dilakukan jam 7.30 pagi tadi dan ketika itu pasangan terbabit berada dalam sebuah bilik hotel tingkat atas.
Katanya, hasil soal siasat lelaki berusia 24 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak serta berasal dari Padang Serai.
"Pasangan ini tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat.
"Lelaki itu mengaku mengenali wanita berkenaan kerana pernah bekerja di tempat sama di sebuah syarikat kurier selama tiga bulan.
"Wanita terbabit pula berasal dari Terengganu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu memaklumkan mereka menyewa bilik hotel itu jam 12.30 tengah malam tadi.
"Soal siasat mendapati pasangan itu mengakui sudah dua kali bertemu di hotel. Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat," katanya.

EmoticonEmoticon