Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup 57 warga asing ke negara ini selepas memintas sebuah bot kayu di perairan Tanjong Karang, Selangor, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata tindakan memintas bot itu dilakukan susulan maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan migran di perairan berkenaan.
Beliau berkata, sebuah bot peronda dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat sebelum mengesan sebuah bot kayu berwarna merah dan hitam yang mencurigakan serta tidak mempunyai nombor pendaftaran.
"Bot berkenaan dipintas kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Tanjong Karang.
"Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 23 tahun bersama dua kru warga negara sama, masing-masing berusia 18 dan 28 tahun.
"Turut berada di dalam bot itu ialah 54 migran warga Indonesia, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan turut mendapati sebahagian migran yang ditahan membawa pasport.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak dibenarkan.
"Kes turut disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana cubaan menyeludup migran ke Malaysia.
"Kesemua 57 warga Indonesia terbabit bersama bot yang disita diiring ke jeti Polis Marin di Pulau Indah untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan Malaysia.

EmoticonEmoticon