Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Ahad, 16 Ogos 2026

Tidak mampu bayar denda 3 bilion rupiah, petani bawa pisang, ubi dan kelapa ke mahkamah

Tidak mampu bayar denda 3 bilion rupiah, petani bawa pisang, ubi dan kelapa ke mahkamah


Tidak mampu membayar denda 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) tiga petani membawa hasil kebun seperti pisang, ubi dan kelapa ke mahkamah sebagai bayaran selepas didakwa mengusahakan tanah milik sebuah syarikat kelapa sawit, lapor Kompas.com


Tiga petani terbabit ialah Harapandi, 50; Rasuli, 53; dan Ibnu Amin, 44. Mereka dikenakan denda 3 bilion rupiah menerusi keputusan pada peringkat rayuan terakhir selepas didakwa menyebabkan kerugian kepada sebuah syarikat sawit.


Harapandi berkata, mereka dituduh mengusahakan tanah dan mengambil buah sawit milik syarikat berkenaan, namun menegaskan mereka tidak pernah melihat hasil tanaman yang didakwa menjadi punca kerugian itu.


"Kami dijatuhi denda 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) kerana dituduh mengusahakan dan mengambil buah sawit syarikat. Ini keputusan yang tidak adil. Jangankan membayar wang berbilion rupiah itu, melihatnya pun kami tidak pernah," katanya.


Menurutnya, apabila diminta membayar denda berkenaan, mereka hanya mampu membawa hasil kebun yang dimiliki iaitu ubi, pisang dan kelapa ke mahkamah.


"Hanya ini yang kami ada, silakan ambil hasil kebun kami. Keadilan sudah tiada," katanya.


Penyerahan hasil kebun itu diterima pihak mahkamah dan direkodkan dalam dokumen rasmi sebagai pembayaran denda. Harapandi berkata, mereka dipanggil pihak mahkamah selepas syarikat berkenaan menuntut bayaran denda yang dijatuhkan terhadap mereka.


Pertikaian itu bermula pada 2005 apabila kira-kira 50 petani mendapati banyak kawasan tanaman kelapa sawit terbiar. Menurut Harapandi, mereka terlebih dahulu bertanyakan kepada syarikat berkenaan sama ada tanah itu termasuk dalam kawasan Hak Guna Usaha (HGU).


"Kami bertanya sebelum mengusahakannya, namun ketika itu dimaklumkan kawasan berkenaan tidak termasuk HGU, jadi kami mengusahakannya. Bagaimanapun, kemudian kawasan itu didakwa termasuk HGU. Pondok dan kebun kami dirobohkan manakala kami diusir," katanya.


Pertikaian itu berlarutan sehingga 9 Ogos 2023 apabila syarikat berkenaan memfailkan tuntutan sivil terhadap petani yang didakwa mengusahakan kawasan HGU miliknya.


Mahkamah Negeri Mukomuko pada awalnya mengenakan denda 1.3 bilion rupiah (kira-kira RM297,000) terhadap ketiga-tiga petani sebelum kes itu dibawa ke peringkat rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Agung Indonesia.


Pada peringkat rayuan terakhir itu, jumlah denda dinaikkan kepada 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) yang perlu ditanggung bersama oleh ketiga-tiga petani berkenaan.


Kompas.com turut cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan dan bahagian undang-undang syarikat sawit berkenaan menerusi telefon, namun tiada respons diterima sehingga laporan diterbitkan.

41 imigran Indonesia dipenjara tiga bulan masuk Malaysia ikut laluan tidak diwartakan

41 imigran Indonesia dipenjara tiga bulan masuk Malaysia ikut laluan tidak diwartakan


Sebanyak 41 pendatang tanpa izin warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Seri Manjung, kelmarin selepas mengaku bersalah memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan, bulan lepas.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.


"Dua daripada 41 individu itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).


"Kes berkenaan telah disebut di Mahkamah Sesyen dan akan melalui proses perundangan selanjutnya termasuk pemindahan ke Mahkamah Tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi APMM Perak selepas sebuah vesel nelayan asing Indonesia dikesan membawa 41 pendatang tanpa izin di perairan Teluk Senangin berhampiran Batu Malang pada 31 Julai lepas.


Mohamad Shukri berkata tekong vesel berkenaan dipercayai cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan selain melakukan gerakan berbahaya sehingga merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali.


Beliau berkata tindakan pantas dan terkawal anggota APMM berjaya menyekat pergerakan vesel berkenaan sebelum ditahan sepenuhnya pada 3.35 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota APMM dalam kejadian tersebut.


"Kejayaan membawa kes ini ke peringkat pendakwaan membuktikan komitmen berterusan APMM dalam memastikan setiap tindakan penguatkuasaan disusuli dengan proses perundangan yang sewajarnya," katanya.


Mohamad Shukri berkata APMM memandang serius kegiatan penyeludupan migran dan kemasukan imigran asing melalui laluan laut yang tidak diwartakan kerana tindakan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara, tetapi juga boleh mendedahkan golongan migran kepada risiko dieksploitasi oleh sindiket serta ancaman keselamatan nyawa di laut.


APMM, katanya, akan terus memperkukuh keupayaan risikan, rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. 


"APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh perairan negara, terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau bertindak agresif sehingga mengancam keselamatan anggota penguat kuasa," katanya. 


Beliau berkata APMM Perak menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerusi talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 supaya tindakan segera dapat diambil.


Beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi APMM Perak selepas sebuah vesel nelayan asing Indonesia dikesan membawa 41 pendatang tanpa izin di perairan Teluk Senangin berhampiran Batu Malang pada 31 Julai lepas. - Foto Facebook.

Sabtu, 15 Ogos 2026

Dua wanita didakwa tiga pertuduhan menipu seorang pesara berjumlah kira-kira RM120,000

Dua wanita didakwa tiga pertuduhan menipu seorang pesara berjumlah kira-kira RM120,000


Dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam atas tiga pertuduhan menipu seorang pesara bagi menyelesaikan tunggakan cukai tidak wujud berjumlah kira-kira RM120,000, April lepas.


Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret S. Punitha.


Mereka didakwa menipu Koay Kuang Hew, 60, dengan menawarkan bantuan menyelesaikan tunggakan cukai itu pada 10 dan 14 April serta 4 Jun di Wisma Hasil, Jalan Tambun dalam daerah Kinta.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan mereka melaporkan diri di balai polis sehingga kes selesai.


Peguam Izzat Fakhri Halimi yang mewakili Noorfarah Surina memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang telah berkahwin mempunyai anak berusia 11 tahun dan berpendapatan kira-kira RM2,000 sebagai penganjur acara.


"Anak guam dan keluarganya tinggal di Cyberjaya. Bapanya menjalani rawatan dialisis yang memerlukan kos tinggi selain dia juga memberikan kerjasama semasa direman," katanya.


Peguam Intan Shafini Mior Shahrin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Nurfalah berkata wanita itu tidak bekerja, sedang menerima rawatan skizofrenia dan dijaga ibu bapa yang berusia.


Punitha membenarkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat dimohon pihak pendakwaan terhadap mereka dan menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.
Kampung Fatimah berpotensi jadi model Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia

Kampung Fatimah berpotensi jadi model Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia


Kampung Fatimah yang terletak di Kuala Langat dilihat sesuai dijadikan projek perintis Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia berikutan keunikan kehidupan masyarakat estet yang masih dapat diketengahkan.


Hasrat itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Fatimah, M Kunasikaran, yang mahu warisan kehidupan masyarakat estet dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi akan datang.


Beliau berkata inisiatif yang dicadangkan menerusi pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 itu perlu dilaksanakan segera memandangkan gaya hidup tradisional masyarakat estet semakin terhakis akibat arus pemodenan.


"Gaya hidup warisan ini perlahan-lahan makin menghilang kerana ramai penduduk kini bekerja di kilang-kilang berdekatan, manakala generasi muda pula semakin terpisah daripada akar umbi, pekerjaan tradisional, adat resam, makanan warisan serta kisah sejarah nenek moyang mereka.


"Jika tiada konsep 'Mari Kita Kenang Semula Kehidupan di Estet' yang dirancang ini, warisan berkenaan mungkin lenyap dalam tempoh satu generasi, maka kita mesti memeliharanya sewaktu estet ini masih 'bernyawa'," katanya ketika berucap pada Program Pembangunan Kampung Fatimah, Banting sebagai Perkampungan Warisan Budaya India, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk P. Manoharan serta wakil Tourism Selangor, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan India Malaysia (MITTA) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor.



Kunasikaran berkata, pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 akan memberikan peluang kepada pelawat merasai kehidupan masyarakat estet menerusi pelbagai aktiviti seperti memetik bunga, festival makanan, permainan tradisional, memerah susu lembu, aktiviti sungai serta pengalaman bermalam di inap desa dan sesi unggun api.


"Kampung Fatimah yang kini telah berusia lebih 40 tahun akan memanfaatkan keunikan persekitaran semula jadi serta aktiviti kemasyarakatan bagi menawarkan modul pelancongan berasaskan penglibatan secara langsung kepada pengunjung tempatan dan luar negara," katanya.


Beliau berkata kerjasama antara jawatankuasa kampung, agensi pelancongan kerajaan dan pengusaha swasta akan terus dipergiat bagi membangunkan produk pelancongan berkenaan.


Sementara itu, Manoharan menyifatkan usaha menjadikan Kampung Fatimah sebagai perkampungan warisan budaya India itu, satu inisiatif yang mempunyai potensi besar dalam mengetengahkan keunikan kehidupan masyarakat estet sebagai produk pelancongan.


"Selama saya berkhidmat dengan Tourism Malaysia, kali pertama saya mendengar inisiatif rintis seumpama ini bagi kampung estet. Pengalaman hidup di estet ini sangat unik dan tiada di mana-mana kerana saya sendiri berasal daripada kehidupan di estet.


"Tourism Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan Tourism Selangor dan pihak berkepentingan industri pelancongan untuk mempakejkan produk berasaskan penglibatan komuniti itu secara komprehensif," katanya.


Beliau berkata laluan perhubungan ke Kampung Fatimah juga mudah dicapai kenderaan pelancong seperti bas dan van, manakala sungai berdekatan dikenal pasti untuk dibangunkan semula sebagai tarikan aktiviti air.


Pembangunan itu, katanya, dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi perkhidmatan inap desa dan keusahawanan budaya.


"Menerusi sokongan padu daripada agensi pelancongan negeri dan Persekutuan, Kampung Fatimah kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai model Perkampungan Warisan Budaya India yang unggul di Malaysia menjelang 2030," katanya.

Khamis, 13 Ogos 2026

Anggota tentera tertembak rakan setugas di lapang sasar direman tiga hari

Anggota tentera tertembak rakan setugas di lapang sasar direman tiga hari


Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam direman tiga hari.


Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Seremban.


"Permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin.


"Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.


"Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya," katanya.


Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut merampas satu senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.


Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang Rabu.


Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

Kanak-kanak 10 tahun jaga kedai di tapak binaan antara 59 warga asing ditahan Imigresen di Ayer Keroh

Kanak-kanak 10 tahun jaga kedai di tapak binaan antara 59 warga asing ditahan Imigresen di Ayer Keroh


Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia selepas ditemui menjaga sebuah kedai runcit di tapak pembinaan di Ayer Keroh, Melaka semalam.


Kanak-kanak berusia 10 tahun dikenali sebagai Danish itu antara 59 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di dua tapak pembinaan sekitar Bukit Baru.


Dalam pemeriksaan itu, Danish ditemui menjaga kedai runcit yang dipercayai diusahakan pekerja warga Indonesia di kawasan tapak pembinaan berkenaan selepas ibunya pulang sementara ke negara asal.


Tinjauan mendapati kedai berkenaan masih beroperasi ketika pemeriksaan dilakukan walaupun pemiliknya tiada di lokasi.


Kedai itu turut dilengkapi kemudahan seperti sambungan internet jalur lebar, komputer peribadi (PC) dan penghawa dingin, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Danish mendakwa dia berada di Malaysia sejak lebih setahun lalu selepas datang bersama keluarganya menaiki kapal terbang dan sebelum ini menetap di Semabok sebelum berpindah ke Ayer Keroh.


Menurutnya, dia tidak bersekolah secara formal sebaliknya mengikuti pembelajaran secara dalam talian selain membantu ibu bapanya menjaga kedai berkenaan bersama neneknya.


Katanya, sepanjang tinggal di tapak pembinaan berkenaan, dia pernah mengalami kecederaan seperti terkena barang yang dibaling dari kawasan kerja.


Saya nak pulang ke Indonesia tetapi disebabkan wang masih belum ada, saya tidak dapat pulang, katanya ketika ditemui di rumah kongsi tapak pembinaan itu.


Sementara itu, nenek Danish, Faridah, 58, yang turut diperiksa dalam operasi itu mendakwa dia hanya membantu menjaga kedai sementara ibu kanak-kanak berkenaan pulang ke Indonesia.


Wanita itu memberi alasan terlupa memperbaharui pas perjalanan yang tamat tempoh sejak tiga tahun lalu dan mengakui sudah tinggal di Malaysia lebih tujuh tahun serta pernah bekerja sebagai buruh binaan.


Saya tahu pas dah tamat tempoh tetapi selama beberapa tahun saya tidak pernah ditahan, cuma kali ini, katanya.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan ke atas 73 individu termasuk warga tempatan.


Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 10 hingga 54 tahun termasuk seorang wanita membabitkan 44 warga Bangladesh, sembilan Indonesia, tiga Myanmar dan tiga Pakistan atas pelbagai kesalahan imigresen.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disyaki warga Indonesia turut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, katanya dalam kenyataan.


Anirwan berkata antara kesalahan disyaki dilakukan adalah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut.


Dalam operasi itu KPDN Melaka turut mengeluarkan beberapa kompaun kepada pemilik kedai runcit termasuk membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga.


Penguatkuasa Imigresen menyoal siasat sorang budak lelaki warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Imigresen Melaka bersama KPDN di Ayer Keroh, semalam - Foto NSTP.

Selasa, 11 Ogos 2026

'Warga asing selalu mabuk, buat kacau', Pangsapuri Seri Nipah diserbu

'Warga asing selalu mabuk, buat kacau', Pangsapuri Seri Nipah diserbu


Kejadian pecah rumah, mabuk dan pergaduhan yang sering berlaku menjadi antara masalah yang menghantui penduduk Pangsapuri Seri Nipah, Subang Jaya, susulan kehadiran koloni warga asing yang semakin ramai di kawasan itu.


Situasi itu turut mendapat perhatian Jabatan Imigresen Selangor yang menjalankan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di pangsapuri itu awal pagi tadi.


Tinjauan media yang mengikuti operasi bermula jam 1 pagi hingga 3 pagi itu, dengan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan dari satu unit ke satu unit.


Bagaimanapun, terdapat penghuni enggan membuka pintu walaupun beberapa kali diketuk anggota penguat kuasa, malah ada yang dipercayai berpura-pura tidak mendengar kehadiran pihak berkuasa, manakala sebahagian yang lain cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan.


Penghuni pangsapuri yang mahu dikenali sebagai Mikail, 29, berkata dia yang menetap di situ sejak empat tahun lalu mengesahkan jumlah warga asing khususnya dari Myanmar dan India semakin ramai.


Katanya, kebanyakan warga asing terbabit dipercayai bekerja di kilang sekitar kawasan itu. Mereka selalu buat kacau, mabuk dan bergaduh, malah ada kes pecah rumah yang dilakukan warga asing terbabit.


"Saya sekeluarga yang tinggal di sini memang rasa tidak selesa, malah keselamatan terjejas apabila terlalu ramai warga asing di sini," katanya.


Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Munirah, 28, berkata jumlah warga asing di kawasan itu lebih ramai berbanding penduduk tempatan.


Katanya, keadaan itu menyebabkan gangguan awam berlaku dan penduduk sudah beberapa kali menegur warga asing terbabit, namun mereka tidak mengendahkannya.


"Mereka selalu mabuk dan buat kecoh. Disebabkan jumlah mereka ramai, mereka semakin berani bertindak kasar," katanya.


Munirah berkata, terdapat juga pasar warga asing yang beroperasi setiap Ahad berhampiran kawasan berkenaan dan menjual pelbagai produk dari negara asal mereka.


Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan pangsapuri itu menjadi tumpuan warga asing terbabit terutama pada waktu pagi dan petang ketika mereka pergi dan pulang bekerja.


Sementara itu, Jabatan Imigresen Selangor dalam kenyataan berkata, operasi yang bermula jam 11 malam itu menyasarkan kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.


Katanya, pada operasi berkenaan, 280 individu diperiksa sebelum 34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.


"Warganegara asing yang ditahan dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Thailand dan lain-lain negara.


"Daripada keseluruhan 34 tahanan, seramai 23 lelaki dan 11 perempuan dengan semua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya.


Katanya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan memiliki kad tidak diiktiraf.


"Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan," katanya.

Isnin, 10 Ogos 2026

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU


Polis menyerbu sebuah penempatan warga asing di Bakau Tinggi, Chukai, awal pagi tadi dalam operasi khas memburu suspek kes rogol membabitkan seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).


Operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bersepadu itu memfokuskan usaha mengesan dan menahan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


Beliau berkata, seramai 33 individu diperiksa membabitkan enam warga tempatan dan 27 warga asing.


"Daripada jumlah itu, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Operasi itu turut dipantau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu bersama Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.



Mohd Khairi berkata, polis bersama JIM akan terus mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing susulan kes berkenaan kerana perbuatan sedemikian boleh mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan siasatan.


Katanya, masyarakat juga diminta menggunakan media sosial secara berhemah serta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan.


"Sebarang penyalahgunaan media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone (VSP)," katanya.

Ahad, 9 Ogos 2026

Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah

Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah


Tidak puas hati dan gagal mengawal kemarahan kerana ditegur tandas rumah sewa kotor menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh menetak rakan senegaranya di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur, semalam.


Difahamkan suspek dan mangsa yang sudah tinggal bersama sejak lima tahun lalu, bertengkar apabila rakannya itu selalu menegurnya kerana tandas selalu kotor selepas suspek menggunakannya.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, susulan kejadian itu, pihak polis mengesan dan menahan suspek kes mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur.


Beliau berkata, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor.


"Mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Ampang dalam keadaan stabil.


"Bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di hadapan sebuah poliklinik di Jalan 16, Kampung Cheras Baru," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, suspek seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja dan rakan serumah mangsa.


"Pihak Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


"Hasil siasatan awal mendedahkan motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan kegagalan mengawal kemarahan berikutan perselisihan faham berturut-turut antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama selama lima tahun," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata yang boleh mendatangkan maut.


"Permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di hadapan majistret pada hari ini untuk membantu siasatan," katanya.



Jumaat, 7 Ogos 2026

PM bakal umum berita gembira untuk warga ATM, PDRM pada 30 Ogos ini

PM bakal umum berita gembira untuk warga ATM, PDRM pada 30 Ogos ini


Proses kenaikan pangkat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipermudah dan dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, kini sedang giat meneliti mekanisme pelaksanaan perkara itu.


"Perkara itu akan saya umumkan pada Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini di Stadium Merdeka," katanya pada majlis Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini.


Turut hadir, Shamsul Azri; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.


Beliau berkata, perkara itu pernah dibangkitkan beliau ketika berkunjung ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas bulan lalu.



Katanya, isu penyelarasan skim perkhidmatan dan kenaikan pangkat ini sebelum ini menjadi perhatian warga keselamatan berikutan perbezaan struktur gred berbanding sektor perkhidmatan awam biasa.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota tentera dan veteran, dengan merujuk kepada peningkatan peruntukan Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus berbanding pentadbiran terdahulu.


Bagi membuktikan komitmen terbabit, beliau turut mengumumkan peruntukan khas RM1 juta bagi kerja menaik naik taraf masjid dan surau di empat kem tentera utama di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.


Selain itu, Perdana Menteri turut meluluskan RM147,000 sebagai sumbangan kebajikan kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) merangkumi pelbagai formasi dan pasukan di empat kem tentera berkenaan.


"Keselesaan perumahan anggota tentera pula kini berada pada tahap keutamaan tertinggi menerusi perbaikan infrastruktur oleh Kor Jurutera.


"Bagi memastikan kebajikan warga pertahanan terus terbela, perincian lanjut berhubung penambahan peruntukan perumahan dan kemudahan asas dijangka akan diumumkan menerusi Pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini," katanya.

Khamis, 6 Ogos 2026

Penganggur tidak mengaku amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di hotel

Penganggur tidak mengaku amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di hotel


Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Sabtu lalu.


Tertuduh, Mohd Asroy Razali, 38, Bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di sebuah hotel di Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira jam 8 pagi pada 1 Ogos lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.


Mangsa yang dipercayai mengenali tertuduh sebelum kejadian tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.


Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM18,000 terhadap tertuduh berserta beberapa syarat tambahan termasuk tidak mengganggu saksi pendakwaan serta wajib melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon pertimbangan mahkamah supaya jumlah jaminan dikurangkan.


Tertuduh memaklumkan perlu menjaga ibu bapanya, selain bapanya menghidap penyakit jantung.


Dia turut memberitahu mahkamah dirinya baru menjalani pembedahan jantung dan mempunyai masalah angin pasang.


Mahkamah bagaimanapun memutuskan tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

Rabu, 5 Ogos 2026

Penjual minyak wangi warga Pakistan didakwa mencabul wanita dalam kenderaan

Penjual minyak wangi warga Pakistan didakwa mencabul wanita dalam kenderaan


Penjual minyak wangi warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita baru dikenali dalam kenderaan awal bulan ini.


Umair Iqbal Sheikh, 33, yang juga bapa kepada tiga anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan terhadap wanita berusia 26 tahun dalam kereta di parkir di Taman Sri Jaya, Batu Pahat pada 4.30 petang, 1 Ogos lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau pun mana-mana dua daripada hukuman itu.


Berdasarkan laporan, tertuduh mengenali pengadu yang juga mangsa melalui media sosial sebelum mengajaknya berjumpa.


Ketika mangsa mahu keluar dari kenderaan, tertuduh bertindak melakukan perbuatan itu menyebabkan mangsa terkejut dan ketakutan.


Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat, sekali gus membolehkan tertuduh ditahan pada jam 7 petang hari sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan kes disebut semula 25 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0


Sebanyak 222 motosikal yang disita sepanjang program RXZ Members 8.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas proses saman dan dokumentasi selesai.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan dilakukan secara berperingkat pada Ahad serta Isnin. 


Beliau berkata, kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dalam sebarang kejadian jenayah, sebaliknya tindakan itu dibuat atas kesalahan serta pelanggaran undang-undang jalan raya seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, perlindungan insurans dan brek belakang.


"Pemilik motosikal telah mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan. Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada penganjuran himpunan RXZ Members akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 


Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menghormati minat serta aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.


Bagaimanapun, JPJ Terengganu menegaskan aspek keselamatan serta kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam setiap penganjuran aktiviti permotoran berskala besar.


Menurut agensi itu, pengukuhan budaya keselamatan membabitkan peserta, penganjur dan agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memastikan kelancaran setiap program.


"JPJ Terengganu mengambil serius kenyataan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli berhubung aduan masyarakat terhadap segelintir peserta RXZ Members 8.0 yang menunggang secara tidak selamat, sekali gus menyebabkan kesesakan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.


"Oleh itu, JPJ Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko, khususnya terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta tindakan menunggang secara berbahaya bagi memastikan setiap aktiviti berlangsung dengan selamat," katanya.

Isnin, 3 Ogos 2026

Remaja 15 tahun mengaku salah buang bayi di kawasan semak

Remaja 15 tahun mengaku salah buang bayi di kawasan semak


Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya di kawasan semak di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, Tawau bulan lalu.


Remaja yang tidak lagi bersekolah itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa meninggalkan seorang bayi yang baru dilahirkannya dengan niat hendak membuang bayi berkenaan di kawasan itu kira-kira jam 4.30 pagi pada 21 Julai lalu.


Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang merupakan ibu kepada bayi berkenaan.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah bagaimanapun menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan kimia tertuduh.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.


Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7 pagi pada 21 Julai lalu mengenai penemuan seorang bayi perempuan di lokasi berkenaan.


Susulan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan tertuduh kira-kira jam 11.10 pagi pada hari sama.


Siasatan lanjut mendapati tertuduh dipercayai melahirkan bayi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan semak itu sebelum meninggalkannya dengan niat membuang bayi terbabit.


Kes ini mendapat perhatian apabila seorang bayi perempuan seberat 3.1 kilogram ditemui ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa kira-kira jam 6 pagi sebelum diselamatkan orang awam dan dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan serta rawatan.


Susulan penemuan itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

RXZ Members 8.0: 1,850 saman dikeluarkan, 222 motosikal disita dan lima nyawa terkorban

RXZ Members 8.0: 1,850 saman dikeluarkan, 222 motosikal disita dan lima nyawa terkorban


Polis Terengganu mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 222 motosikal sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 di negeri ini.


Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tindakan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Terengganu juga membuat enam tangkapan terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang lelaki warganegara Singapore berusia 22 tahun.


"Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing.


"Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.


Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya dicatatkan pada penganjuran tahun 2026, berbanding 11 kes yang direkodkan pada penganjuran tahun 2025.


Katanya, daripada jumlah tersebut, lima kes kemalangan maut dengan lima kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding dua kes pada tahun lalu.


"Empat mangsa adalah lelaki dan seorang mangsa wanita yang semuanya dalam lingkungan umur 20 hingga 48 tahun.


"Dua kes melibatkan motosikal RXZ di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan lain-lain jenis motosikal di Kemaman dan Dungun," katanya.


Beliau berkata, bagi kes jenayah, sebanyak empat kes jenayah dicatatkan berbanding enam kes yang direkodkan pada penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu.


Tambahnya, bagi kes curi motosikal, hanya satu kes pada tahun ini iaitu kehilangan motosikal jenis Yamaha 125 Z di luar Litar Pemotoran Gong Badak.


Menurutnya, statistik kes jenayah komersil pula, hanya satu kes penipuan direkodkan melibatkan penipuan tawaran inap desa (homestay) tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus, dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,200.


Katanya, laporan kes jenayah narkotik pula, di daerah Kuala Terengganu sahaja, sebanyak 15 pemeriksaan dijalankan ke atas individu serta lokasi yang disyaki sepanjang tempoh penganjuran program tersebut.


"Tujuh lokasi pemeriksaan adalah di inap desa manakala bakinya adalah pemeriksaan di sekitar tapak program.


"Hasil daripada pemeriksaan yang dilaksanakan, tindakan tegas diambil dengan lima kes dengan tiga tangkapan melibatkan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Sabtu, 1 Ogos 2026

Penjawat awam boleh kerja 2 hari dari rumah berkuat kuasa hari ini

Penjawat awam boleh kerja 2 hari dari rumah berkuat kuasa hari ini


Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif, berkuat kuasa hari ini.


Inisiatif itu menyaksikan norma kerja tradisional lima hari seminggu di pejabat kini beralih kepada gabungan kehadiran fizikal dan tugasan di lokasi alternatif, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan pelaksanaan HBH sebagai langkah kalis masa hadapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal utuh dalam mendepani perubahan global dan evolusi cara kerja moden tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.


Mengikut Garis Panduan Pelaksanaan HBH, bagi negeri yang mempunyai hari kelepasan mingguan pada Ahad, maka Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai kehadiran wajib ke pejabat.


Bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu pula, hari wajib bertugas di pejabat adalah pada Ahad dan Khamis.


Satu lagi hari kehadiran fizikal akan ditentukan oleh ketua jabatan masing-masing, manakala baki dua hari lagi diperuntukkan untuk BDR mengikut kesesuaian fungsi dan syarat yang ditetapkan.


Kaedah bekerja secara hibrid itu turut diamalkan di beberapa negara maju, termasuk Singapura, Australia, Finland dan Sweden.


Melalui HBH, pegawai yang layak tidak perlu lagi mengemukakan permohonan atau menunggu arahan khas kerana aturan itu kini menjadi sebahagian daripada skim kerja tetap, tertakluk pada kelayakan yang ditentukan oleh Ketua Jabatan.


Ketua jabatan diberi kuasa mutlak untuk menentukan kelayakan pegawai, termasuk mengarahkan mereka hadir ke pejabat pada hari BDR jika diperlukan atas kepentingan perkhidmatan atau menarik balik kelayakan sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi.


Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini tidak melibatkan sektor perkhidmatan penting yang memerlukan kehadiran fizikal sepenuhnya seperti petugas kaunter, pasukan keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.


Bagi menjamin produktiviti, pencapaian output kerja dan kehadiran pegawai akan dipantau melalui sistem SPOT-Me selain pegawai diwajibkan mematuhi peraturan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan sentiasa boleh dihubungi pada bila-bila masa serta bersedia hadir ke pejabat apabila diarahkan.


JPA sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan HBH berteraskan kepercayaan, integriti dan kebertanggungjawaban pegawai dengan sokongan teknologi digital bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal pada tahap terbaik.