Hanya kerana berebut tempat duduk dalam lori, seorang anak berusia 26, sanggup membunuh bapanya, dalam kejadian di kawasan Timarpur, utara Delhi pada Khamis (26 Jun 2025).
Portal NDTV melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam berhampiran Blok MS, Timarpur itu, mangsa Surendra Singh, 60, yang juga bekas sub-inspektor Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF), maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di pipi kiri.
Menurut polis, suspek juga anak kandung mangsa dikenali sebagai Deepak berjaya ditahan di lokasi kejadian dan senjata api milik bapanya bersama 11 peluru hidup turut dirampas.
Sumber berkata, ketika kejadian, anggota polis peronda terdengar bunyi tembakan sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring berlumuran darah di tepi jalan manakala orang awam cuba merampas senjata daripada suspek.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital HRH, namun disahkan sudah meninggal dunia ketika tiba.
Siasatan awal polis mendapati keluarga itu dalam proses berpindah pulang ke kampung asal di Uttarakhand susulan persaraan Surendra enam bulan lalu.
Difahamkan, keluarga berkenaan menyewa lori untuk membawa barang, namun berlaku pertengkaran antara Surendra dan Deepak mengenai siapa yang layak duduk di kerusi depan.
Surendra dikatakan mahu duduk di depan kerana lori sarat dengan muatan, namun tiba-tiba Deepak bertindak agresif, mengambil senjata api berlesen milik bapanya sebelum melepaskan tembakan, kata sumber polis. - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon