Selasa, 13 Oktober 2026

Geng curi kabel berhampiran sekolah tumpas, 14 individu ditahan


Tanpa mempedulikan orang awam yang sedang lalu-lalang, sekumpulan lelaki dirakam mencuri kabel pada waktu siang berhampiran sebuah sekolah rendah di Kampung Melayu Panchor, Seremban.


Dalam rakaman yang tular itu, kumpulan terbabit dilihat menggunakan empat kenderaan antaranya Mercedes Benz dan pacuan empat roda.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9 Oktober lalu dan disedari orang ramai jam 12 tengah hari.


Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya melancarkan satu operasi mengesan kumpulan terbabit sebelum menahan 14 individu termasuk dua wanita tempatan di beberapa lokasi di Nilai dan Selangor.


"Seorang saksi kejadian melihat empat lelaki memakai pelitup muka dan menaiki empat kenderaan sedang menarik kabel dari dua lubang penyelenggaraan.


"Kejadian berlaku di kawasan simpang jalan keluar, dekat sebuah sekolah rendah di Panchor. Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat penduduk setempat," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mohd Yatim berkata, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan Op Lusuh di Labu, Nilai dan Dengkil, Selangor, 9 Oktober lalu.


"Kami menahan 12 lelaki dan dua wanita berumur 22 hingga 67 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian jenayah curi kabel itu.


"Dalam serbuan terbabit, polis turut merampas lima kenderaan, beberapa peralatan memotong dan mencuri kabel, tiga guni wayar tembaga yang sudah dibakar dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


"Kesemua suspek direman sehingga hari ini (semalam). Penahanan suspek membolehkan kami menyelesaikan beberapa kes curi kabel di Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Melaka," katanya.


Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.


EmoticonEmoticon