Khamis, 26 November 2026

Dakwa hanya ejen skim emas, guru diperintah bayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa


ALOR SETAR - Seorang guru yang menjadi ejen skim jualan emas diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa selepas pembelaannya bahawa dia hanya bertindak sebagai orang tengah ditolak.


Hakim Dr Mohammad Johan Lee membenarkan tuntutan plaintif, yang kebanyakannya penjawat awam termasuk guru, selepas mendapati guru berkenaan bertanggungjawab terhadap kegagalan menunaikan obligasi jual beli emas dan memulangkan wang yang diterima.


Peguam mewakili mangsa, Mahmud Jumaat, berkata anak guamnya tertarik dengan tawaran pembelian emas pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran, selain dijanjikan pulangan lumayan.


Menurutnya, mangsa menyerahkan wang dalam jumlah besar, malah ada yang mengeluarkan ratusan ribu ringgit untuk menyertai skim berkenaan.


Bagaimanapun, guru terbabit dalam pembelaannya mendakwa hanya bertindak sebagai ejen yang mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39.


Mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontrak antara guru berkenaan dengan plaintif, termasuk pembayaran wang ke akaun peribadi dan akaun perniagaannya.


Mahkamah kemudian memerintahkan guru itu membayar RM1.5 juta kepada 15 plaintif berdasarkan jumlah pembayaran yang berjaya dibuktikan sepanjang perbicaraan.


Sementara itu, Siti Hajartul sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada April lalu atas tuduhan menipu penjualan emas tidak wujud membabitkan kerugian RM173,500 pada 2024.


Wanita itu juga dilaporkan ditahan sebaik tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Oktober 2024, selepas dipercayai menipu lebih 100 mangsa dengan kerugian melebihi RM110 juta menerusi tawaran emas 916 pada harga di bawah pasaran.


Skim berkenaan dipercayai menyebabkan mangsa, termasuk guru dan kakitangan hospital awam, sanggup meminjam wang daripada keluarga, rakan-rakan malah pemberi pinjaman tidak berlesen demi mendapatkan tawaran emas yang dikatakan menguntungkan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon