Selasa, 17 November 2026

Pasangan kekasih ada rekod khalwat ditahan selepas cuba langgar anggota PGA


TUMPAT - Sepasang kekasih ditahan selepas pemandu sebuah Proton Satria Neo dipercayai cuba merempuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mahu menjalankan pemeriksaan dalam operasi di Jalan Kampung Tengah Geting, di sini, Isnin lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan mengesan kereta berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pulau Tengkorak.


Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kenderaan terbabit bertindak memecut dan cuba melanggar anggota yang menghampirinya untuk pemeriksaan.


Menurutnya, anggota kemudian mengejar kereta itu sebelum berjaya menahannya di Jalan Kampung Tengah Geting.


Anggota terpaksa memecahkan cermin tingkap hadapan dan belakang di bahagian pemandu bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.


Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun di dalam kenderaan berkenaan. Tiada barang salah ditemukan pada kedua-duanya atau di dalam kereta, namun pemeriksaan telefon bimbit iPhone 11 Pro Max menemukan beberapa video berunsur lucah.


Siasatan awal mendapati pasangan itu mengaku mempunyai hubungan kekasih dan berlaku perselisihan faham ketika berada di Pantai Geting sebelum lelaki terbabit membawa teman wanitanya ke Pulau Tengkorak untuk berbincang.


Lebih mengejutkan, kedua-duanya turut mengaku pernah ditahan atas kesalahan khalwat oleh Pejabat Agama Tumpat pada Oktober lalu dan dijadualkan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Syariah Tumpat pada 18 November ini.


PGA turut merampas Proton Satria Neo dan telefon bimbit berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8,500.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.



EmoticonEmoticon