Selasa, 17 November 2026

Cabul budak enam tahun di kebun, buruh turut didakwa miliki bahan lucah


MUAR - Seorang buruh berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak serta memiliki bahan pornografi kanak-kanak.


Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Shahrul Nizam Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di kawasan kebun di Segamat, antara Julai hingga Ogos tahun lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak berupa video yang disimpan dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Segamat, kira-kira jam 1 pagi, 5 November lalu.


Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat dia perlu melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan.


Tertuduh turut dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa, ahli keluarganya serta saksi pendakwaan lain.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


EmoticonEmoticon