Tiga wanita ditahan polis selepas video seorang perempuan dipercayai menjadi mangsa penganiayaan sekumpulan individu di Kabupaten Batang, Jawa Tengah, tular di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 10 November 2026 di Desa Selapajang, Kecamatan Banyuputih, membabitkan mangsa berusia 21 tahun yang dikenali sebagai TW.
Mangsa dipercayai dijemput secara paksa dari tempat kerjanya di Kecamatan Limpung oleh sekumpulan wanita sebelum dibawa ke lokasi lain.
Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa didakwa dipukul di dua lokasi berbeza, iaitu kawasan rumpun buluh dan pematang sawah. Lebih mengejutkan, mangsa turut dipercayai dipaksa bersujud ketika dianiaya.
Selain mengalami kekerasan fizikal, mangsa mendakwa dompetnya turut dirampas, diminta menyerahkan sejumlah wang serta diugut oleh individu terbabit.
Ketua Siasatan Jenayah Polresta Batang, Komisioner Polis Bintoro Thio Pratama mengesahkan tiga individu yang dipercayai terbabit ditahan pada malam 11 November lalu.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang ditahan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hubungan asmara atau perebutan teman lelaki.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Instagram yang dipercayai teman lelaki salah seorang wanita terbabit.
Bagaimanapun, polis menegaskan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Mangsa turut mendakwa empat wanita terbabit dalam kejadian itu, manakala polis masih meneliti keterangan berhubung dakwaan penganiayaan, rampasan dompet, pemerasan dan ugutan.


EmoticonEmoticon