JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kejadian itu dikesan menerusi satu rakaman video yang tular di Facebook selepas dimuat naik oleh akaun Community Roda Johor-CRJ kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, susulan penularan video berkenaan, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi pada jam 1.45 pagi bagi menjalankan pemeriksaan.
Bagaimanapun, ketika polis tiba, kumpulan lelaki terbabit sudah beredar dan hanya kesan pembakaran mercun ditemukan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan semua individu yang dipercayai terbabit bagi membantu siasatan, selain mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana perbuatan gopoh atau cuai berkaitan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana perbuatan memberhentikan atau membiarkan kenderaan berada di jalan raya sehingga menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna lain.
Azrol berkata, polis memandang serius perbuatan sedemikian dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

EmoticonEmoticon