Rabu, 4 November 2026

Datuk didakwa salur rasuah RM1 juta lindungi sindiket rokok haram, ditahan SPRM


PUTRAJAYA - Seorang pemilik syarikat bergelar Datuk antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalurkan rasuah kira-kira RM1 juta kepada anggota dan pegawai polis bagi melindungi kegiatan penyeludupan rokok haram.


Rasuah itu dipercayai diberikan sebagai balasan supaya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan yang beroperasi di sekitar Pantai Timur dan Lembah Klang.


Dua lagi individu yang ditahan ialah seorang guru tuisyen dan pegawai pemasaran, masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 50-an. Ketiga-tiganya diberkas kira-kira jam 4 petang Ahad lalu di beberapa lokasi sekitar Putrajaya, Selangor dan Johor.


Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan.


Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat sejak 2020 dengan bertindak sebagai orang tengah menyalurkan wang rasuah kepada beberapa anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Dalam operasi susulan, SPRM dengan kerjasama PDRM menyita empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000, selain empat telefon bimbit dan sebuah komputer riba.


Sebanyak 29 akaun bank, merangkumi 20 akaun persendirian dan sembilan akaun syarikat, turut dibekukan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.5 juta.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.


EmoticonEmoticon