Jumaat, 30 Oktober 2026

Skrin LED MPK digodam, tayangan video lucah mengejutkan orang ramai di Kluang


KLUANG - Orang ramai di sekitar bandar Kluang dikejutkan dengan paparan gambar dan video lucah pada beberapa skrin diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) selepas sistem berkenaan dipercayai digodam, semalam.


MPK dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Menurutnya, siasatan sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain mengambil langkah pemulihan serta memperkukuh keselamatan sistem.


MPK turut memandang serius insiden itu dan memohon maaf atas kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, turut mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan semua skrin LED terbabit sudah ditutup bagi mengelakkan paparan tidak senonoh itu berulang.


Insiden itu mula tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp selepas beberapa skrin LED di Dataran Tasik Kluang, Taman Intan serta laluan menghala ke Kahang didapati memaparkan kandungan tidak senonoh.


Kejadian berkenaan mencetuskan kebimbangan dan kemarahan penduduk yang menggesa pihak berkuasa mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab.


MPK turut menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon