Jumaat, 23 Oktober 2026

Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor, polis rampas dadah RM16.2 juta, 8 ditahan


Pelbagai dadah bernilai RM16.2 juta dirampas di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang yang dipercayai dijadikan sebagai stor. Kegiatan terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja secara sambilan di rumah ibadat itu.


"Setakat ini, kita percaya kes membabitkan sindiket dadah. Bagaimanapun, kami sedang mengesahkan sama ada aktiviti gangsterisme ataupun kongsi gelap turut terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.


Menurutnya, pihaknya menahan lapan individu membabitkan enam lelaki dan dua wanita termasuk empat warga asing berusia antara 19 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


"Tiga lelaki serta seorang wanita warga asing ini dipercayai terbabit rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa. Mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini dan semakan sedang dijalankan dengan Jabatan Imigresen.


"Ada kalangan suspek warga asing ini baru masuk sehari sebelum ditangkap, ada yang beberapa hari sebelum ditangkap. Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum keluar ke destinasi seterusnya, namun kami dapat mengesan dadah dalam bagasi mereka," katanya.


Mengulas sumber dadah, Shazeli berkata ia dipercayai dari negara jiran dan untuk edaran tempatan serta luar negara.


Katanya, semakan mendapati, hanya seorang suspek memiliki rekod membabitkan tujuh kesalahan dadah dan jenayah.


Keseluruhan, polis merampas 129 bungkusan plastik disyaki ketulan mampat bunga ganja seberat 81.3 kilogram (kg), 327 paket ketulan mampat ganja (37kg), katrij cecair ketamin (3,510 unit), ketamin (40kg), cecair ekstasi (84 botol), heroin (20.6kg) dan ketamin (25.4kg).


"Polis turut menyita harta bernilai keseluruhan RM54,835 daripada empat suspek tempatan termasuk antaranya kereta Honda Accord dan Proton Saga," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon