Jumaat, 23 Oktober 2026

Lebih 18 tahun tiada LKM, Land Rover diguna bawa pelancong di Cameron Highlands disita


CAMERON HIGHLANDS - Lebih 18 tahun Lesen Kenderaan Motor tamat, namun sebuah kenderaan jenis Land Rover milik sebuah agensi kerajaan yang dilelong masih digunakan tanpa memperbaharui Lesen Kenderaan Motor.


Lebih membimbangkan apabila kenderaan berkenaan digunakan untuk membawa pelancong di sebuah pusat peranginan terkenal di tanah tinggi berkenaan.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, dalam operasi kira-kira pukul 1 tengah hari di Jalan Sungai Palas menuju ke Gunung Brinchang semalam pihaknya menyita sebuah kenderaan jenis Land Rover yang membawa tiga penumpang tempatan.


"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh sejak 1 April 2008 selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.


"Lebih membimbangkan, semakan lanjut mendapati kenderaan sama pernah disita pada 5 Disember 2025 atas kesalahan yang sama, namun melibatkan pemandu yang berbeza," katanya hari ini.


Menurutnya, kenderaan berkenaan telah disita di bawah Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Raub untuk tindakan lanjut.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana LKM tamat tempoh dan Seksyen 90(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada perlindungan insurans.


Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan masih didaftarkan atas nama sebuah agensi kerajaan.


"Difahamkan, kenderaan berkenaan pernah dilelong oleh pihak berkenaan sebelum ini. Bagaimanapun, proses pertukaran hak milik kepada pembeli yang berjaya dalam lelongan tersebut masih belum dilaksanakan, menyebabkan rekod pemilikan kenderaan kekal atas nama agensi itu.


"JPJ Negeri Pahang memandang serius kesalahan berulang ini dan menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.


This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon