Khamis, 19 November 2026

Cuba menyorok di belakang pintu tandas, pemuda dicekup khalwat bersama janda

Gambar Ilustrasi

KLUANG - Tindakan seorang lelaki menyembunyikan diri di belakang pintu tandas sebuah inap desa bagi mengelak pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) gagal apabila dia ditemui hanya berseluar dalam tanpa berbaju, awal pagi semalam.


Lelaki berkenaan ditahan bersama seorang wanita berstatus janda dalam pemeriksaan kira-kira jam 2.10 pagi.


Menurut JAINJ, ketika anggota penguat kuasa tiba di inap desa berkenaan, pintu bilik dibuka oleh seorang wanita yang hanya berkemban dan memakai baju tanpa lengan.


Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.


Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam bilik itu membawa kepada penemuan seorang lelaki yang sedang bersembunyi di belakang pintu tandas. Lebih mengejutkan, lelaki terbabit hanya memakai seluar dalam tanpa berbaju ketika ditemui.


Menurut kenyataan itu, hasil soal siasat mendapati kedua-dua individu berkenaan, yang berusia dalam lingkungan 20-an, mengaku bukan pasangan suami isteri.


Mereka turut memaklumkan sudah lama mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan.


Ketika ditanya mengenai tujuan menyewa bilik inap desa berkenaan, pasangan itu mendakwa hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama.


Malah, kedua-duanya mengakui mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga, namun masih belum menetapkan tarikh pernikahan.


Susulan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997, sebelum tindakan pendakwaan di Mahkamah Syariah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon