Jumaat, 13 November 2026

Penganggur didakwa bunuh pemandu teksi, mayat mangsa ditemui terapung dalam tali air

Penganggur didakwa bunuh pemandu teksi, mayat mangsa ditemui terapung dalam tali air


BUTTERWORTH - Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi berusia 73 tahun yang mayatnya ditemukan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong, Kepala Batas, bulan lalu.


Tertuduh, S Ganesan, 41, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Mohamad Faizal.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, Ganesan didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi di laluan dari Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir hingga Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas, pada 8 Oktober lalu.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia serta patologi.


Terdahulu, pada 11 Oktober lalu, seorang pemancing menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong.


Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pesara guru didakwa amang seksual tujuh pelajar perempuan, berdepan 17 pertuduhan

Pesara guru didakwa amang seksual tujuh pelajar perempuan, berdepan 17 pertuduhan


TELUK INTAN - Seorang pesara guru berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun.


Tertuduh, Zaidi Abbas, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.


Mengikut pertuduhan, Zaidi yang ketika kejadian mempunyai hubungan amanah sebagai guru didakwa melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap tujuh mangsa antara Mei 2024 hingga 7 Julai 2025.


Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bilik khas dan kantin sekolah menengah di Langkap, selain di dalam sebuah kenderaan di sekitar kawasan berkenaan serta ketika dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, menawarkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Bagaimanapun, peguam Koh Shean Wai memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri, ibu serta empat anak yang masih bersekolah. Tertuduh juga dikatakan memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan, merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.

Isu parkir cetus pergaduhan, enam sekeluarga dan seorang remaja didakwa

Isu parkir cetus pergaduhan, enam sekeluarga dan seorang remaja didakwa


BATU PAHAT - Enam sekeluarga bersama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan terbabit dalam pergaduhan di tempat awam yang dipercayai berpunca daripada isu parkir kenderaan pada September lalu.


Kesemua tertuduh iaitu Siti Jumaidah Samsudin, 41, Mohamad Nor Hashim, 38, Norlaileasma Md Baharom, 44, Bitah A Kadir, 75, Aina Maisara Anuar, 19, Aina Aliesya, 20, serta remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama terbabit dalam pergaduhan di Kampung Parit Bilal, kira-kira jam 8.40 malam pada 27 September lalu.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai bermula apabila Siti Jumaidah yang berkunjung ke rumah adiknya tidak berpuas hati dengan tindakan pelanggan sebuah kedai makan meletakkan kenderaan di hadapan rumah berkenaan.


Keadaan kemudian menjadi tegang apabila beberapa individu yang dikenali datang ke rumah itu dan berlaku perselisihan faham dengan adik Siti Jumaidah berkaitan isu parkir.


Dalam kejadian itu, Siti Jumaidah mendakwa dirinya dipukul dan ditarik sehingga mengalami kecederaan pada muka serta terseliuh tangan kiri. Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.


Insiden pergaduhan berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan Siti Jumaidah diikat jamin RM1,000, manakala enam tertuduh lain masing-masing dibenarkan jaminan RM500.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Januari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Rekod pinjaman bank sukar dihapuskan walaupun diserang penggodam, boleh dipulihkan - pakar IT

Rekod pinjaman bank sukar dihapuskan walaupun diserang penggodam, boleh dipulihkan - pakar IT


Harapan sesetengah peminjam agar serangan penggodam terhadap sistem perbankan dapat menghapuskan rekod hutang mereka tidak akan menjadi kenyataan kerana data pinjaman bank dilindungi pelbagai lapisan keselamatan.


Penyelidik Kanan Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr Zubaile Abdullah, berkata serangan siber mungkin mampu memadam, mengubah atau mengunci data bank untuk sementara waktu, namun rekod pinjaman sukar dihapuskan secara kekal.


Menurutnya, sistem perbankan moden mempunyai kawalan keselamatan ketat, rekod transaksi, sistem sandaran serta mekanisme pemulihan data.


Katanya, walaupun penggodam berjaya memadamkan rekod pinjaman daripada pangkalan data utama, pihak bank masih mempunyai sumber lain seperti rekod sandaran, sejarah transaksi, dokumen perjanjian dan rekod kewangan untuk membina semula maklumat berkenaan.


Bagaimanapun, proses pemulihan bergantung kepada tahap kerosakan, keadaan data sandaran dan kecekapan pelan pemulihan bencana bank terbabit.


Beliau turut mengingatkan bahawa serangan siber terhadap bank bukan perkara kecil kerana ia boleh menjejaskan baki akaun, transaksi pembayaran serta perkhidmatan perbankan kepada orang ramai.


Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata kemungkinan serangan siber berjaya menghapuskan data perbankan adalah sangat rendah.


Menurutnya, institusi kewangan negara dilindungi kawalan pengurusan risiko teknologi maklumat yang ketat dan dikategorikan sebagai sebahagian daripada Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).


Beliau menjelaskan, penjenayah siber lazimnya menggunakan perisian hasad (malware) dan perisian tebusan (ransomware) untuk mengunci atau memanipulasi data bagi tujuan pemerasan wang, bukannya menghapuskan hutang pelanggan.


Katanya, serangan sedemikian lebih bertujuan mendapatkan wang tebusan dengan menghalang organisasi mengakses sistem dan maklumat mereka.


Walaupun Malaysia mempunyai tahap kesiapsiagaan yang baik dalam menghadapi ancaman siber, sektor kewangan perlu terus memperkukuh pertahanan kerana teknik serangan penggodam semakin canggih dan sentiasa berkembang.

Khamis, 12 November 2026

Murid tahun enam hamil, buruh ladang kelapa sawit ditahan polis

Murid tahun enam hamil, buruh ladang kelapa sawit ditahan polis


KABONG - Seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.


Kes berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa membawa anaknya ke sekolah pada 12 November lalu untuk memaklumkan mengenai kehamilan itu. Ibu mangsa turut menyatakan hasrat supaya anaknya berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.


Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie, berkata guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis kerana mangsa masih di bawah umur.


Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025 sebelum mereka dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.


"Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan.


Mangsa dipercayai menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.


Susulan laporan polis diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan lelaki berkenaan.


Suspek akhirnya ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Lima kabel penjana kecemasan dipotong, nyawa ratusan pesakit hospital jadi taruhan

Lima kabel penjana kecemasan dipotong, nyawa ratusan pesakit hospital jadi taruhan


Tindakan seorang lelaki dipercayai cuba mencuri kabel elektrik di Hospital Chonburi mengundang risiko besar apabila lima kabel bekalan kuasa utama yang disambungkan kepada penjana kecemasan hospital itu dipotong.


Perbuatan berkenaan berpotensi mengancam keselamatan ratusan pesakit yang bergantung kepada peralatan bantuan pernafasan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.


Menurut laporan Khaosod English, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada 10 November lalu apabila seorang penceroboh memasuki kawasan hospital dipercayai untuk mencuri kabel berkenaan.


Bagaimanapun, kakitangan hospital yang mengesan pergerakan mencurigakan ketika melakukan pemeriksaan rutin menyebabkan suspek bertindak melarikan diri dengan terjun melalui tingkap tanpa sempat mengambil sebarang barangan.


Pemeriksaan lanjut mendapati lima kabel utama yang menghubungkan penjana kecemasan sudah dipotong, sekali gus menyebabkan sistem bekalan kuasa sokongan tidak dapat berfungsi untuk beberapa bangunan hospital.


Antara kawasan terjejas ialah bangunan Sor Kor, Chalatit dan Chonlathan serta pusat komputer hospital berkenaan.


Pihak hospital memaklumkan, bangunan terbabit menempatkan ratusan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan. Kerosakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan operasi peralatan sokongan hayat sekiranya bekalan elektrik utama terputus.


Kos pembaikan kabel yang rosak dianggarkan mencecah 300,000 baht (kira-kira RM36,000).


Susulan kejadian itu, polis dari Balai Polis Mueang Chonburi berjaya menahan suspek kira-kira jam 6 petang pada hari sama, hanya sekitar tiga setengah jam selepas insiden dilaporkan.


Pihak hospital turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Balai Polis Mueang Chonburi, Pol Col Somchai Thiwongsa atas tindakan pantas menggerakkan pasukan penyiasat sehingga suspek berjaya diberkas.


Hospital menegaskan, kerugian akibat kerosakan kabel bukan sekadar melibatkan kos pembaikan, malah tindakan sedemikian boleh membawa akibat jauh lebih buruk sekiranya bekalan elektrik terputus dan menjejaskan pesakit yang bergantung kepada peralatan sokongan hayat.

42 individu ditahan, polis Sarawak tumpaskan tujuh sindiket scam antarabangsa

42 individu ditahan, polis Sarawak tumpaskan tujuh sindiket scam antarabangsa


KUCHING - Polis Sarawak berjaya menumpaskan tujuh sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menerusi pusat panggilan atau call centre dalam satu operasi bersepadu, Ops Megpie 01/2026, yang menyaksikan 42 individu ditahan.


Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dari 19 hingga 31 Oktober lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak berkata, tujuh serbuan dilakukan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu, membabitkan dua rumah banglo, tiga rumah teres serta dua unit apartmen yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket.


Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.


Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing membabitkan 18 warga China, lapan Indonesia serta masing-masing seorang dari Taiwan dan Myanmar.


Siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan pelbagai kegiatan penipuan termasuk pelaburan tidak wujud, pelaburan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian palsu serta pengurusan kewangan hasil kegiatan penipuan.


Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa di luar negara termasuk Jepun, China, Indonesia dan Austria, bukannya rakyat tempatan.


Tempoh operasi di premis terbabit dikesan antara 10 hari hingga 11 bulan sebelum kegiatan mereka berjaya dihidu polis hasil maklumat orang awam.


Dalam operasi itu, polis turut merampas peralatan bernilai kira-kira RM230,000, termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, tujuh telefon bimbit, lima set peranti Internet tanpa wayar, satu set rangkaian Internet dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Saifullizan berkata, seramai 33 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan. Daripada mereka yang dituduh, 17 mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 setiap seorang.

Rabu, 11 November 2026

Sembunyi dalam lubang bawah lantai rumah, lelaki gagal elak dicekup khalwat

Sembunyi dalam lubang bawah lantai rumah, lelaki gagal elak dicekup khalwat

Gambar Ilustrasi

KOTA TINGGI - Tindakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersembunyi di dalam lubang rahsia bawah lantai sebuah rumah bagi mengelak ditangkap berkhalwat bersama seorang wanita berstatus janda akhirnya terbongkar.


Helah lelaki terbabit bagaimanapun berjaya dihidu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam pemeriksaan kedua di kediaman berkenaan, kira-kira jam 8.15 malam.


Menurut kenyataan JAINJ, lelaki itu sebelum ini berjaya mengelak dikesan ketika pemeriksaan pertama pada sebelah pagi, walaupun penguat kuasa mengambil masa hampir 30 minit memeriksa dan menggeledah setiap ruang rumah berkenaan.


Dalam pemeriksaan kedua, selepas menerima maklumat kehadiran lelaki di rumah sama, wanita berusia lingkungan 30-an yang berada di rumah bersama dua anaknya mendakwa tiada lelaki lain di kediaman itu.


Bagaimanapun, pemeriksaan menyeluruh membawa kepada penemuan sebuah ruang tersembunyi yang ditutup menggunakan penutup jubin selepas penguat kuasa mengalihkan rak pinggan mangkuk.


Sebaik penutup itu dibuka, seorang lelaki ditemukan sedang mencangkung di dalam lubang berkenaan sebelum diarahkan keluar.


Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Kota Tinggi, manakala wanita berkenaan turut bekerja di daerah sama.


Siasatan awal mendapati lelaki itu tinggal bersama keluarganya kira-kira 15 kilometer dari rumah berkenaan dan dipercayai datang menggunakan motosikal yang diletakkan jauh dari kediaman terbabit.


JAINJ memaklumkan, pasangan itu mengaku bukan suami isteri, namun mendakwa mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi belum bersedia berbuat demikian.


Kedua-duanya kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

16 wanita Indonesia dipercayai mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

16 wanita Indonesia dipercayai mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan


ALOR SETAR - Seramai 16 wanita warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Baiduri, Jalan Gangsa, di sini, malam tadi.


Kesemua wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun itu diselamatkan menerusi operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Pintu yang dijalankan kira-kira jam 11.30 malam.


Operasi berkenaan dilaksanakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) bagi membanteras kegiatan pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.


Dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemerdagangan orang.



Menurut kenyataan Imigresen Kedah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).


Pihak berkuasa turut menyita dua kenderaan, iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota RAV4 dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.


Selain itu, sebanyak 33 pasport Indonesia serta wang tunai berjumlah RM122,598 turut disita dalam operasi berkenaan.


Kesemua 16 wanita terbabit kini diselamatkan untuk tindakan dan siasatan lanjut, manakala dua lelaki yang ditahan untuk membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti peranan mereka serta kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan.

Hina Perdana Menteri di Facebook, lelaki 35 tahun dipenjara tiga bulan

Hina Perdana Menteri di Facebook, lelaki 35 tahun dipenjara tiga bulan


SEPANG - Padah memuat naik komen berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sepang, di sini, hari ini.


Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook ‘Shazrin Kedah’ pada 12 Mac lalu, kira-kira jam 6.15 petang, dengan niat menyakitkan hati orang lain.


Hantaran berkenaan mengandungi kata-kata kasar dan berunsur kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah Perdana Menteri.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keperluan mencegah kesalahan sama daripada berulang.


Beliau turut menegaskan bahawa sifat komen yang menghina, penggunaan bahasa kesat serta kebolehcapaiannya kepada orang awam merupakan faktor pemberatan.


Bagaimanapun, peguam Amer Haiqal Mohd Yusof merayu supaya hukuman diringankan atas alasan tertuduh tidak bekerja, mempunyai sumber kewangan terhad dan perlu menjaga ibu bapanya yang menghidap beberapa penyakit kronik.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh. Lelaki itu dibawa ke Penjara Kajang hari ini bagi menjalani hukuman.