Seorang lelaki maut selepas ditembak pengawal keselamatan ketika cuba merompak sebuah kedai emas dalam kejadian di Petaling Jaya pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.59 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pisau dipercayai cuba melarikan barangan kemas sebelum berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan di premis berkenaan.
Beliau berkata, pergelutan itu menyebabkan pengawal keselamatan melepaskan tembakan sehingga mencederakan suspek.
"Suspek cedera akibat tembakan yang dilepaskan dan pengawal keselamatan itu turut mengalami kecederaan akibat pergelutan.
"Suspek dan pengawal keselamatan yang terlibat telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, pada pukul 11.53 pagi suspek telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
"Bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di PPUM pada 17 Mac bagi mengetahui punca kematian.
"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.
Justeru itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung dengan kes ini.

EmoticonEmoticon