Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Sabtu, 3 Oktober 2026

Ibu tunggal, buruh kasar didenda gadai gelang emas palsu

Ibu tunggal, buruh kasar didenda gadai gelang emas palsu


Seorang ibu tunggal dan buruh kasar masing-masing didenda RM3,000 serta RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang Kota Tinggi, pada Jumaat selepas mengaku bersalah memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan menggadaikan gelang emas palsu.


Tertuduh, Jameah Ibrahim, 48, didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Yussuf Harun, 62, didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.


Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.


Mengikut pertuduhan, Jameah didakwa memperdaya pemilik sebuah kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikannya ialah emas tulen namun barang kemas tersebut palsu.


Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang di Kota Tinggi kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 29 September lalu.


Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun setengah atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Yussuf didakwa memperdaya individu dan kedai sama dengan menggadaikan seutas gelang tangan emas seberat 9.2 gram, sedangkan barang kemas itu palsu bagi mendapatkan wang RM3,000, pada jam 3.10 petang, 14 September lalu.


Bagi kesalahan itu, Yussuf dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat, 2 Oktober 2026

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri


Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.


Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu.


Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.


Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang simpanan berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.


Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu itu untuk mendapatkan kembali wang tersebut.


Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan dia juga gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi itu.


Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, mengambil kira faktor mangsa mengalami kerugian besar dan kekerapan kes penipuan di Malaysia.


"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.


Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung dua anak, ibu serta ibu mentua yang sakit.


Sabtu, 26 September 2026

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih


Mahkamah Tinggi Singapura memerintahkan seorang guru tuisyen juga pekerja kafe membayar balik S$321,116.40 (RM1,024,027.88) kepada bekas teman wanitanya selepas mendapati wang itu adalah pinjaman, bukannya hadiah atas dasar kasih sayang.


Hakim Alex Wong membuat keputusan itu pada Khamis lalu selepas mendapati Chee Wei Jun memang berniat membayar semula wang berkenaan, selain sengaja menggambarkan dirinya sebagai individu berstatus lebih tinggi bagi menarik perhatian wanita itu.


Mahkamah mendapati Teow Seok Phen, seorang pengurus kewangan, terpedaya dengan gambaran berkenaan dan perkara itu antara faktor mendorongnya meminjamkan wang kepada Chee.


Pasangan itu berkenalan menerusi platform janji temu dalam talian Coffee Meets Bagel pada Jun 2023 sebelum menjalin hubungan tidak lama kemudian.


Sepanjang hubungan itu, Teow memindahkan wang menerusi PayNow, memberikan wang tunai serta membenarkan Chee menggunakan kad kreditnya.


Teow mendakwa dia menyerahkan hampir semua wang simpanannya, selain membuat pendahuluan tunai dan pemindahan baki kad kredit untuk membantu Chee yang mendakwa akaun banknya dibekukan selepas mengklik pautan penipuan.


Chee mendakwa wang itu diberikan atas dasar kasih sayang kerana Teow memahami masalah kewangannya. Dia turut menafikan menggunakan kad kredit wanita itu kecuali sekali.


Bagaimanapun, mahkamah mendapati Chee beberapa kali berjanji membayar semula wang berkenaan, termasuk menerusi mesej WhatsApp. Dalam mesej pada Ogos 2023, dia berjanji membayar balik sepenuhnya setiap bantuan diterimanya.


Hakim Wong turut mendapati Teow menyimpan rekod jumlah wang yang dipinjamkan, sekali gus menyokong keterangannya bahawa wang itu bukan hadiah.


Mahkamah juga mendapati Chee cuba menggambarkan dirinya sebagai individu lebih berada, termasuk mendakwa bekerja dalam bidang penerbangan dan merujuk dirinya sebagai orang kenamaan (VIP) di hotel serta premis lain.


Menurut hakim, kenyataan itu bertujuan menarik perhatian Teow dan menampilkan Chee sebagai individu lebih penting daripada kedudukannya sebenar sebagai guru tuisyen dan pekerja kafe.


Chee turut mendakwa dia menandatangani dokumen pengakuan hutang di bawah paksaan, selain mendakwa keluarga Teow mengugutnya. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyokong pembelaan itu.


Mahkamah menerima bahawa Chee menerima S$268,794 (RM857,142.42) menerusi pindahan wang dan tunai, manakala perbelanjaan kad kredit termasuk faedah ditetapkan sebanyak S$87,322.40 (RM278,469.27).


Selepas mengambil kira bayaran balik S$35,000 (RM111,614.25) yang dibuat Chee pada Mac 2024, mahkamah memutuskan dia masih berhutang S$321,116.40 (RM1,024,048.51) kepada Teow.

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000


Polis sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang di Vietnam mengambil masa kurang 30 minit untuk mengesan pemilik jam tangan Rolex emas yang tertinggal di kawasan pemeriksaan keselamatan lapangan terbang itu, lapor VnExpress.


Sarjan Kanan Nguyen Duc Hoang menemukan jam tangan berkenaan di kawasan pemeriksaan keselamatan pada 17 September sebelum memaklumkan kepada pihak atasannya, menurut Polis Pintu Sempadan lapangan terbang itu pada Selasa.


Beliau kemudian bekerjasama dengan kakitangan terminal untuk membuat pengumuman mengenai barangan tercicir, menyemak rakaman kamera keselamatan dan menghubungi syarikat penerbangan terbabit.


Pemilik jam itu ialah Long Jianming, penumpang penerbangan AirAsia AK641 menuju ke Kuala Lumpur.


Beliau menerima semula jam berkenaan ketika pesawat bersiap untuk menutup pintunya. Jianming menganggarkan nilai jam tangan itu melebihi 1.6 bilion dong Vietnam (RM251,156).


Gambar polis menunjukkan jam itu ialah Rolex Cosmograph Daytona 126508-0004 yang diperbuat daripada emas kuning 18 karat.


Menurut laman web Rolex, jam tangan berkenaan dijual pada harga AS$55,200 (RM225,116) di Amerika Syarikat.


Sehari sebelum itu, pasukan keselamatan domestik unit berkenaan turut memulangkan barangan milik dua penumpang lain yang tertinggal, dengan nilai keseluruhan hampir 200 juta dong Vietnam (RM31,361).

Sabtu, 12 September 2026

Skandal seks, penyelewengan babit ketua sami Thailand: Aset RM26.4 juta disita

Skandal seks, penyelewengan babit ketua sami Thailand: Aset RM26.4 juta disita


Skandal membabitkan bekas ketua sami sebuah kuil terkenal di Thailand semakin melebar selepas polis menyita aset bernilai kira-kira 215 juta baht (RM26.4 juta) dalam siasatan penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram.


Phra Wachirayan Wi, 66, bekas ketua sami Wat Phutthaisawan di Ayutthaya ditahan bersama seorang wanita berusia 47 tahun yang disyaki membantu menukar dan menyembunyikan wang berkenaan.


Siasatan terbaharu turut mengesan deposit bank melebihi 290 juta baht (RM35.7 juta) yang dikaitkan dengan bekas ketua sami tersebut.


Antara aset yang ditemukan pihak berkuasa termasuk wang tunai, jongkong emas, barang kemas dan puluhan geran tanah.


Bagaimanapun, polis masih menyiasat sumber serta pemilikan aset berkenaan bagi menentukan bahagian yang merupakan harta peribadi dan yang sebenarnya dimiliki kuil.


Siasatan terhadap Phra Wachirayan bermula pada pertengahan Julai selepas polis menerima maklumat tanpa nama berhubung dakwaan salah laku dan penyalahgunaan dana Wat Phutthaisawan.



Ketua penyiasat, Pattanasak Bupphasuwan berkata, polis mengenal pasti dua aliran wang membabitkan resit sumbangan yang dikeluarkan atas nama kuil tersebut.


Kira-kira 89 juta baht (RM10.9 juta) diterima bagi tujuan pengubahsuaian kuil, manakala 2.8 juta baht (RM344,732) lagi diperoleh menerusi bayaran bagi azimat Buddha dan barangan suci lain.


Jumlah keseluruhan 91.8 juta baht (RM11.3 juta) itu bagaimanapun didakwa tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun kuil.


"Wang daripada kedua-dua sumber itu tidak masuk ke akaun kuil, walaupun satu baht," kata Pattanasak.


Siasatan kini diperluaskan bagi menjejaki aliran wang, akaun bank, aset serta individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes tersebut.


Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Nattasak Chaowanasai berkata, langkah itu bertujuan mengenal pasti pihak lain yang terbabit selain membantu memulihkan keyakinan masyarakat terhadap agama Buddha.


Kes berkenaan turut mencetuskan kontroversi selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Phra Wachirayan melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit di kediamannya tersebar dan disiarkan media Thailand.


Sami Buddha di Thailand terikat dengan ikrar untuk hidup membujang dan meninggalkan pemilikan harta benda.


Phra Wachirayan yang turut dikenali sebagai Luang Pho Atichot dilucutkan status sebagai sami sejurus selepas ditahan.


Wat Phutthaisawan merupakan kuil diraja terkenal yang dibina sejak abad ke-14 dan mempunyai ramai pengikut termasuk pegawai kerajaan, ahli perniagaan, polis serta anggota tentera.


Phra Wachirayan juga terkenal menghasilkan azimat Buddha dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dilaporkan antara individu yang pernah memakai hasil buatannya.


Skandal terbaharu itu kembali mencetuskan perhatian terhadap pengurusan kewangan institusi agama di Thailand selepas negara tersebut digemparkan tahun lalu dengan kes seorang wanita yang didakwa memeras ugut sekurang-kurangnya 11 sami selepas melakukan hubungan seks dengan mereka, membabitkan hampir AS$12 juta (RM48) juta dana kuil.

Jumaat, 11 September 2026

Siasatan penyelewengan RM12.3 juta, ketua sami ditahan bongkar seks atas meja makan

Siasatan penyelewengan RM12.3 juta, ketua sami ditahan bongkar seks atas meja makan


Seorang bekas ketua sami berusia 66 tahun yang didakwa menyeleweng 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) daripada sebuah kuil terkenal di Ayutthaya ditahan polis pada Khamis bersama seorang wanita yang dipercayai membantunya menguruskan wang berkenaan, lapor Bangkok Post.


Polis turut menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan bekas ketua sami itu melakukan hubungan intim dengan wanita terbabit di kediamannya.


Polis menyerbu kediaman warga emas itu di Wat Phutthaisawan, sebuah biara diraja purba di subdaerah Samphao Lom, daerah Muang pada jam 6 pagi.


Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Polis Leftenan Jeneral Natthasak Chaowanasai berkata, siasatan bermula selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kuil dan penyerahan wang kepada seorang rakan wanita untuk disembunyikan menggunakan nama orang lain.


Katanya, siasatan secara sulit menemukan bukti yang menyokong dakwaan berkenaan yang mana siasatan mendapati ketua sami itu didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) dalam tempoh lebih dua tahun.



Menurut polis, wanita yang ditahan itu dipercayai membantu bekas ketua sami berkenaan menguruskan wang yang diselewengkan. Puluhan juta baht dilaporkan mengalir menerusi akaun bank wanita itu setiap tahun.


Dia ditahan atas pertuduhan bersubahat dengan pegawai negeri dalam aktiviti haram. Mengikut undang-undang, ramai sami dianggap pegawai negeri kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.


Warga emas berkenaan dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat kerana menghasilkan azimat Buddha terkenal termasuk syiling "Nuea Duang" yang menjadi rebutan ramai penganut.


Selepas ditahan, dia diiringi ke dewan perkahwinan kuil sebelum jubah putih disediakan untuk upacara pelucutan jawatan sami. Suspek kemudian kembali menggunakan nama asalnya sebelum ditahan polis dan dibawa ke CIB untuk siasatan lanjut.


Penyiasat mendakwa bekas ketua sami itu turut menyalahgunakan hasil jualan azimat serta barangan keagamaan lain dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi manakala resit sumbangan dikeluarkan atas nama kuil yang dikatakan menyerupai modus operandi dalam skandal berprofil tinggi membabitkan Wat Phrabat Namphu di Lop Buri yang mengalami kerugian dianggarkan 10 bilion baht (RM1.298 bilion).


Pemeriksaan di rumah pembantu wanita itu di daerah Khlong Luang, Pathum Thani pula membawa kepada penyitaan 35 azimat emas, jongkong emas dan barang kemas seberat 90 baht (1.36 kilogram) bernilai kira-kira 6.04 juta baht (kira-kira RM742,000).


Polis turut merampas wang tunai 3.6 juta baht (kira-kira RM443,000), tiga telefon bimbit, iPad, dokumen tanah dan bank, buku simpanan, dokumen pelaburan, polisi insurans serta dokumen berkaitan emas dan loteri.


Penyiasat berkata, kes itu mungkin turut membabitkan dua atau tiga individu lain termasuk lebih daripada seorang Wanita manakala seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk disoal siasat, namun dia enggan menjawab soalan wartawan sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.

Khamis, 10 September 2026

15 tahun jaga cucu tanggung perbelanjaan harian, ibu tuntut RM217,000 daripada anak

15 tahun jaga cucu tanggung perbelanjaan harian, ibu tuntut RM217,000 daripada anak

(Foto Hiasan)

Seorang wanita di timur China mengambil tindakan undang-undang terhadap anak lelakinya dengan menuntut pampasan lebih 360,000 yuan (RM217,000) selepas menghabiskan 15 tahun menjaga cucu perempuannya.


Kes itu mencetuskan perdebatan di China mengenai tanggungjawab datuk dan nenek dalam penjagaan cucu serta kewajipan ibu bapa terhadap anak.


Mahkamah di Shanghai pada April mendedahkan butiran kes yang difailkan tahun lalu membabitkan wanita berusia lingkungan 60-an, Xu, terhadap anak lelakinya yang hanya dikenali sebagai Liang.


Xu, yang telah bercerai dengan suaminya, tinggal bersama Liang. Selepas Liang bercerai pada 2014, Xu kemudian mengambil alih sebahagian besar tanggungjawab membesarkan cucunya.


Menurut laporan Xinmin Evening News, Xu turut menanggung perbelanjaan harian, kos perubatan dan pendidikan cucunya sepanjang tempoh berkenaan.


Dalam tuntutannya, Xu mendakwa anaknya tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keluarga serta gagal melaksanakan kewajipan sebagai seorang bapa.


Bagaimanapun, Liang menegaskan beliau telah berusaha menyara anaknya mengikut kemampuan, terutama ketika pendapatannya ketika itu hanya sekitar 3,000 yuan (RM1,800) sebulan.


Konflik semakin memuncak selepas Liang berkahwin semula dan berpindah bersama isteri baharunya, menyebabkan anak perempuannya terus berada di bawah jagaan Xu.


Selepas 15 tahun menguruskan cucunya, Xu berkata, tekanan kewangan menyebabkan beliau tidak lagi mampu meneruskan tanggungjawab tersebut dan memutuskan untuk menuntut pampasan daripada anaknya.


Pakar undang-undang berkata, pertikaian mengenai bayaran penjagaan oleh datuk dan nenek bukan bertujuan mengkomersialkan hubungan kekeluargaan, sebaliknya membantu menjelaskan tanggungjawab setiap pihak.


Kes itu turut mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai perubahan struktur keluarga di China, khususnya apabila datuk dan nenek semakin kerap mengambil alih tugas penjagaan anak akibat kekangan ekonomi dan pekerjaan ibu bapa.