Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Isnin, 9 November 2026

Hutang barang runcit dipercayai punca warga emas ditemui mati dengan leher dikelar

Hutang barang runcit dipercayai punca warga emas ditemui mati dengan leher dikelar


PAPAR - Perselisihan faham dipercayai berkaitan hutang pembelian barangan runcit membawa kepada tragedi apabila seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, petang Sabtu.


Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan berkenaan berjaya ditahan polis kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.


Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa berusia 75 tahun itu kira-kira jam 6.15 petang semalam.


Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher yang dipercayai akibat dikelar menggunakan senjata tajam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara mangsa dengan suspek.


"Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama, hasil risikan dan tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah.


Polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian untuk pemeriksaan serta analisis forensik. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jumaat, 6 November 2026

Tawar khidmat seks pada polis menyamar, wanita warga China dipenjara 5 bulan, denda RM4,000

Tawar khidmat seks pada polis menyamar, wanita warga China dipenjara 5 bulan, denda RM4,000


TAWAU - Seorang wanita warga China yang menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM700 kepada seorang lelaki, akhirnya menerima padah apabila lelaki terbabit rupa-rupanya anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan.


Wanita berkenaan, Zhang Hong, 31, dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya pada 4 November lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis pada jam 10.05 malam, Rabu lalu, di sebuah pusat terapi di daerah ini.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Ketika merayu hukuman diringankan, tertuduh memaklumkan dia sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang kini dijaga neneknya.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dikendalikan Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.


Pendakwaan turut memohon wang tunai RM700 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan, selain barang kes dilupuskan dan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.


Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan termasuk memerintahkan wang tunai RM700 dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan di sebuah premis terapi selepas anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan ditawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM700.

Khamis, 29 Oktober 2026

Takut dipecat selepas kejadian curi, pengawal keselamatan reka cerita disamun

Takut dipecat selepas kejadian curi, pengawal keselamatan reka cerita disamun


TAWAU - Gara-gara bimbang kehilangan pekerjaan susulan kejadian kecurian di tempat kerja, seorang pengawal keselamatan sanggup mereka cerita kononnya dirinya menjadi mangsa samun sehingga membuat laporan polis palsu.


Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati kejadian samun yang dilaporkannya pada 7 September lalu sebenarnya tidak pernah berlaku.


Tertuduh, Liman Ismail, mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 9.44 malam pada hari kejadian.


Ketika ditanya Majistret Don Stiwin Malanjum mengenai motif perbuatannya, tertuduh mengakui bertindak demikian kerana takut dibuang kerja selepas berlaku kecurian di tempat kerjanya. Dia juga mendakwa tidak mengetahui kejadian itu kerana sedang tidur ketika insiden berlaku.


Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani Perintah Kehadiran Wajib selama enam bulan di Pusat Kehadiran Wajib Tawau, selama empat jam sehari.


Selain itu, tertuduh turut dikenakan bon RM1,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin tempatan.


Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhasserry P Kang, memaklumkan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.


Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar masyarakat tidak menyalahgunakan laporan polis.

Selasa, 27 Oktober 2026

Mengaku pandu berbahaya hingga rakan maut, wanita didenda RM5,000 dan dipenjara

Mengaku pandu berbahaya hingga rakan maut, wanita didenda RM5,000 dan dipenjara


TAWAU - Seorang suri rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa rakannya, bulan lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Risna, 26, selepas pengakuan bersalah direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala hukuman penjara 30 bulan berkuat kuasa serta-merta.


Mengikut pertuduhan, Risna didakwa memandu sebuah Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam di Batu 16, Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang pada 26 September lalu.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam rayuan, peguam Jhassery P Kang memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai dua anak.


Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam serta akibat serius perbuatan tertuduh.


Pendakwaan menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan mengenai bahaya pemanduan berbahaya yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.


Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Risna sebelum ini didenda RM4,000 pada 9 September lalu selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Isnin, 26 Oktober 2026

Wanita warga China direman empat hari, disyaki terbabit aktiviti persundalan

Wanita warga China direman empat hari, disyaki terbabit aktiviti persundalan


TAWAU - Seorang wanita warga China direman empat hari selepas disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik operasi sebuah pusat refleksologi berhampiran pusat bandar, malam tadi.


Wanita berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Tembok/Op Noda oleh sepasukan polis dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau serta Jabatan Tenaga Kerja Tawau, kira-kira jam 8.37 malam.


Ketika serbuan, wanita terbabit ditemui bersama seorang anggota polis penyamaran di dalam sebuah bilik di tingkat satu premis berkenaan.


Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan minyak pelincir, kondom terpakai dan belum digunakan, plastik pembungkus kondom, sebuah beg serta wang tunai RM500 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu. Pasport wanita berkenaan turut dirampas.


Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan.


Wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan reman selama empat hari sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Jumaat, 23 Oktober 2026

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah


TAWAU - Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat, selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadapnya melampaui keraguan munasabah.


Mahkamah mengenakan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraan enam tahun.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan selepas permohonan dikemukakan peguam bela, Sylvester Kuan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu berupa rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang kononnya dibuat oleh tiga anggota polis ketika menjalankan tugas rasmi.


Kesalahan itu dilakukan dengan memperdayakan pihak berkaitan supaya dokumen berkenaan diterima sebagai dokumen tulen.


Tertuduh disabitkan atas ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam. - Sumber Harian Metro.

Jumaat, 16 Oktober 2026

Padah miliki 120 biji telur penyu, lelaki dipenjara setahun dan didenda RM50,000

Padah miliki 120 biji telur penyu, lelaki dipenjara setahun dan didenda RM50,000


Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan, selepas mengaku bersalah memiliki 120 biji telur penyu yang merupakan spesies haiwan dilindungi sepenuhnya di Sabah.


Tertuduh, Jumadil Jamil, 44, yang bekerja sendiri, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Khushairy Ibrahim.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 120 biji telur Penyu Hijau (Chelonia mydas) di kawasan tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoran di Kota Kinabatangan pada jam 8.06 malam, 4 Julai 2025.


Penyu Hijau merupakan spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.


Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama.


Peruntukan itu membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.