Selasa, 3 Mac 2026

Hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 curi tabung masjid keterlaluan - Peguam


Peguam yang mewakili tiga lelaki yang tular dalam kes curi tabung masjid minggu lalu memberitahu, hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM4,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini sebagai keterlaluan.


Peguam, Ashrul Haikal yang mewakili pekerja pusat cuci kereta, K Tineshuaran, 26; kelindan lori, R Nishanraj, 22 dan operator kilang, R Danesh, 27, kemudiannya memohon mahkamah menangguhkan hukuman berkenaan dengan alasan mahu membuat semakan rayuan hukuman di Mahkamah Tinggi.


Beliau berkata, semakan wajar dibuat memandangkan ini merupakan kesalahan pertama mereka.


"Jika mahkamah tidak membenarkan penangguhan hukuman itu, kemudian anak guam selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam bulan, ia akan menyebabkan permohonan kami menjadi sia-sia.


"Tabung itu telah dikembalikan malah jumlah wang dalam tabung lebih RM200 sahaja," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Swinder Singh.



Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar membantah penangguhan hukuman berkenaan.


"Tiada keperluan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hanya kerana tertuduh berhasrat mahu membuat rayuan semakan hukuman," katanya.


Selepas mendengar kedua-dua pihak, Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan berkenaan.


Mahkamah mendapati, tidak keadaan khas atau istimewa yang membolehkan semua tertuduh mendapat penangguhan hukuman penjara terbabit.


Terdahulu, tiga lelaki itu termasuk seorang remaja 17 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencuri tabung masjid minggu lalu.


Tiga lelaki itu dihukum penjara selama enam bulan dan denda RM4,000 selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.


Sementara seorang lagi tertuduh, memandangkan dia merupakan remaja bawah umur, mahkamah menetapkan 28 April depan untuk serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum menjatuhkan hukuman.


Semasa prosiding yang dibuat secara tertutup, Muhammad Syafiq membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.


Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menegaskan tiada unsur provokasi dalam kes curi tabung di sebuah masjid Seksyen 7, Shah Alam. Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mencuri kerana terdesak dan memerlukan wang.


Sabtu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan polis negeri kerana bertindak pantas dalam berkesan sehingga berjaya menahan pelaku kejadian tersebut.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon