Padah menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbitnya, seorang bakal pengantin didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tertuduh, Muhammad Nurhakim Ridzuan Shah, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menyimpan beberapa imej lucah dalam telefon bimbitnya kira-kira jam 3.15 petang di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah, dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Ogos 2025.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Tertuduh yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ia adalah kesalahan pertamanya selain bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayarnya.Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.
Menurut fakta kes, siasatan bermula selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa tertuduh memuat naik gambar kenderaan miliknya di Facebook bersama kata-kata berunsur fitnah dan memalukan.
Susulan laporan itu, telefon bimbit tertuduh dirampas untuk siasatan sebelum analisis forensik menemui imej lucah yang tersimpan dalam peranti berkenaan.

EmoticonEmoticon