KUCHING - Seorang wanita warga Indonesia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seksual dengan bayaran RM250 di sebuah pusat refleksologi di Jalan Batu Kawa.
Majistret Nureina Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman itu terhadap Diana Sri Mondo, 31, dan memerintahkan dia dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Diana menawarkan perkhidmatan seksual bagi tujuan persundalan dengan bayaran RM250 kira-kira jam 3.15 petang, pada 16 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan dalam serbuan polis menerusi Ops Noda selepas pihak berkuasa menemui dia bersama seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan berbogel di sebuah bilik premis berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati Diana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan itu, termasuk minyak urut, kondom, tisu, tuala dan wang tunai RM250.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Diana turut mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia selepas pasnya tamat tempoh.
Hakim Mursyida Abd Halim menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula 29 Oktober 2026 dan memerintahkan wanita itu dihantar pulang ke Indonesia selepas selesai menjalani hukuman.
Kedua-dua kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani dan Marvind Kaliyani. Tertuduh tidak diwakili peguam.








