Rabu, 24 Disember 2025

Pengait sawit dituduh rogol murid selepas umpan kad tambah nilai


Pengait kelapa sawit yang dituduh merogol murid perempuan selepas mengumpan mangsa dengan kad tambah nilai dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, hari ini.


Tertuduh, Mohamad Ismail Ab Latif, 20, yang turut positif ganja bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa merogol remaja perempuan berusia 11 tahun di rumahnya di Batu Pahat, 11.50 malam, 17 Disember lalu.


Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh mengenali mangsa melalui media sosial sebelum menawarkan 'hadiah' kad tambah nilai kepadanya.


Mangsa diajak keluar ke kedai untuk membeli kad prabayar namun dia menolak pelawaan. Bagaimanapun, mangsa terpaksa akur sebelum menurutinya.


Tertuduh menunggang motosikal dari rumahnya dan menjemput mangsa. Malangnya, mangsa bukan dibawa ke kedai seperti dijanjikan sebaliknya tertuduh membawa balik ke rumahnya sebelum merogolnya.


Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan kes disebut semula pada 26 Februari depan di Mahkamah Sesyen Muar untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.


Tertuduh juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh terdekat kerana positif ganja.


EmoticonEmoticon