Seorang nelayan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kepingan isi pokok gaharu di Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh, Isnin lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Ali Sulaiman, 40, selepas menerima pengakuannya, serta menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujah pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Ali didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas, mencuri kepingan isi pokok gaharu milik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di dalam Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh pada 4 Mei lalu, kira-kira 1 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan serius membabitkan pencerobohan harta dan hak milik seseorang selain barang yang dicuri ialah kepingan isi pokok gaharu yang mempunyai nilai komersial tinggi dan sukar diperolehi.
"Perbuatan tertuduh menunjukkan niat untuk memperoleh keuntungan secara tidak sah dan pokok gaharu ditanam serta dipelihara untuk tujuan landskap dan tarikan pelancong.
"Perbuatan tertuduh juga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri dan menjejaskan kepentingan masyarakat umum yang mengunjungi Taman Botani.
"Hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum bahawa mahkamah tidak akan berkompromi dengan kesalahan mencuri tumbuhan bernilai tinggi dan sumber alam," katanya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) SS Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan memandangkan tertuduh perlu menanggung dua anak selain pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar denda manakala barang kes diserahkan semula kepada pihak pendakwaan.

EmoticonEmoticon