Khamis, 13 Ogos 2026

Pintu berkunci sejam, anggota polis berstatus isteri orang mengaku khalwat dengan Inspektor dalam bilik sewa


Seorang Inspektor polis dan anggota polis wanita yang sudah berkahwin mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, atas pertuduhan berkhalwat selepas didakwa berkurung dalam sebuah bilik sewa, Mei lalu.


Tertuduh, Mohd Shukri Hamzah, 40, dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man.


Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa yang boleh mendatangkan syak bersama individu yang bukan pasangan atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.


Kesalahan itu didakwa berlaku di bilik sewa sebuah rumah di Jalan Murni 1, Taman Mas Merah, Batu Berendam, Melaka Tengah, kira-kira jam 11.57 malam, pada 14 Mei lalu.


Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan dilakukan Pegawai Syarak bersama Imam Masjid Nurul Hidayah, Kariah Kampung Pulau Samak, Batu Berendam selepas menerima maklumat awam.


Ketika tiba di lokasi, pintu bilik didapati berkunci dan tiada respons selepas diketuk. Pintu hanya dibuka kira-kira sejam kemudian selepas kedua-dua tertuduh dipujuk sebelum pemeriksaan dijalankan. Hasil semakan mendapati kedua-dua tertuduh bukan suami isteri dan bukan mahram.


Mohd Shukri yang bertugas sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, Intan Suriani yang berstatus isteri orang dan bertugas sebagai anggota polis di IPD berlainan turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama kerana berkurung yang mendatangkan syak bersama lelaki bukan suaminya atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka.


Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.


Dalam hujahnya, pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota badan penguat kuasa.


Pendakwaan berkata, kes itu serius kerana tangkapan dilakukan Pegawai Syarak bersama imam masjid selain kedua-dua tertuduh didakwa enggan memberikan kerjasama pada peringkat awal pemeriksaan.


Menurut pendakwaan, kedua-dua tertuduh sepatutnya menunjukkan tahap integriti tinggi sebagai anggota polis kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd Shukri atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Manakala Intan Suriani pula didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Mawardi meluahkan kekecewaan terhadap pembabitan anggota badan penguat kuasa dalam kesalahan syariah.


Beliau turut menyifatkan kes berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana individu yang diharapkan menjaga masyarakat sendiri terlibat dalam perbuatan yang melanggar undang-undang.


Mawardi berkata perbuatan bersekedudukan tanpa nikah atau hubungan mahram di tempat tertutup boleh menimbulkan syak dan termasuk dalam perbuatan yang dilarang oleh hukum syarak.


Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya mengambil iktibar daripada hukuman yang dijatuhkan serta tidak mengulangi perbuatan sedemikian.


Dalam nada tegas, Mawardi menegaskan bahawa kedudukan sebagai anggota polis tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengenepikan undang-undang, sebaliknya mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon