MELAKA - Gara-gara tidak berpuas hati dengan riak wajah seorang juruwang yang didakwa tidak senyum ketika bertugas, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menjadi mangsa kekasaran beberapa individu daripada satu keluarga di sebuah pasar mini di Taman Bertam Perdana, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa di kaunter pembayaran kerana didakwa tidak senyum.
Menurutnya, wanita itu kemudian keluar dari kedai sebelum suaminya masuk bersama empat anak tidak lama kemudian.
Lelaki berkenaan didakwa membaling kotak rokok ke arah mangsa sambil menjerit bertanyakan siapa yang membaling rokok kepada isterinya, sebelum menolak remaja itu dengan kuat hingga ke arah peti sejuk.
Seorang wanita dipercayai anak perempuan lelaki itu turut masuk ke kedai, menengking mangsa sebelum menendang kakinya beberapa kali.
Halim berkata, keadaan akhirnya ditenteramkan oleh wanita yang mencetuskan perselisihan awal sebelum keluarga terbabit meninggalkan kedai dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna biru gelap.
Mangsa membuat laporan polis pada Isnin dan mendapatkan rawatan di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan, manakala polis sedang mengesan semua individu terbabit.
Terdahulu, video kejadian berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial selepas dikongsikan individu yang mendakwa sebagai kakak mangsa, selain meminta polis mengambil tindakan terhadap pelaku.

EmoticonEmoticon