Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Rabu, 14 Oktober 2026

Lampu jalan terbakar punca asap tebal di DUKE - Polis

Lampu jalan terbakar punca asap tebal di DUKE - Polis


Kepulan asap tebal yang tular berhampiran Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), pagi tadi, disahkan berpunca daripada kebakaran lampu jalan di laluan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian berlaku di jalan susur 0.5 dari arah Greenwood menuju ke susur Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Katanya, hasil pemeriksaan polis bersama pihak pengurusan Lebuhraya DUKE mendapati kebakaran lampu jalan itu menyebabkan kepulan asap tebal yang dilihat pengguna jalan raya.


"Asap itu berpunca daripada lampu jalan yang terbakar dan api berjaya dipadamkan. Kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Anuar Bakri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki tempatan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.


Lelaki berkenaan hanya menyedari asap tebal keluar dari kawasan longkang lebuh raya dan tidak mengetahui punca sebenar kejadian.


Menurutnya, tindakan susulan berhubung kejadian itu kini di bawah tanggungjawab pihak pengurusan Lebuhraya DUKE.


Terdahulu, rakaman video memaparkan kepulan asap tebal berhampiran lebuh raya berkenaan tular di media sosial sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya.

Selasa, 13 Oktober 2026

Geng curi kabel berhampiran sekolah tumpas, 14 individu ditahan

Geng curi kabel berhampiran sekolah tumpas, 14 individu ditahan


Tanpa mempedulikan orang awam yang sedang lalu-lalang, sekumpulan lelaki dirakam mencuri kabel pada waktu siang berhampiran sebuah sekolah rendah di Kampung Melayu Panchor, Seremban.


Dalam rakaman yang tular itu, kumpulan terbabit dilihat menggunakan empat kenderaan antaranya Mercedes Benz dan pacuan empat roda.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9 Oktober lalu dan disedari orang ramai jam 12 tengah hari.


Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya melancarkan satu operasi mengesan kumpulan terbabit sebelum menahan 14 individu termasuk dua wanita tempatan di beberapa lokasi di Nilai dan Selangor.


"Seorang saksi kejadian melihat empat lelaki memakai pelitup muka dan menaiki empat kenderaan sedang menarik kabel dari dua lubang penyelenggaraan.


"Kejadian berlaku di kawasan simpang jalan keluar, dekat sebuah sekolah rendah di Panchor. Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat penduduk setempat," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mohd Yatim berkata, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan Op Lusuh di Labu, Nilai dan Dengkil, Selangor, 9 Oktober lalu.


"Kami menahan 12 lelaki dan dua wanita berumur 22 hingga 67 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian jenayah curi kabel itu.


"Dalam serbuan terbabit, polis turut merampas lima kenderaan, beberapa peralatan memotong dan mencuri kabel, tiga guni wayar tembaga yang sudah dibakar dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


"Kesemua suspek direman sehingga hari ini (semalam). Penahanan suspek membolehkan kami menyelesaikan beberapa kes curi kabel di Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Melaka," katanya.


Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Ahad, 11 Oktober 2026

Lelaki ditahan kes curi di Plentong positif dadah, ada dua rekod jenayah

Lelaki ditahan kes curi di Plentong positif dadah, ada dua rekod jenayah


Seorang lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes mencuri di pusat beli-belah di Plentong, Johor Bahru disahkan positif dadah serta memiliki dua rekod jenayah lampau.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pada jam 11 malam semalam, ibu pejabat polis daerah Seri Alam mengesan suatu rakaman video tular berdurasi selama 39 saat yang dimuatnaik menerusi media sosial threads oleh pemilik akaun @nisszzzzz_17.


Beliau berkata, ia memaparkan perselisihan antara dua pihak iaitu seorang individu disyaki mencuri dan pekerja sebuah premis di dalam pusat membeli-belah melalui media sosial threads.


"Satu laporan polis bersabit dengan kejadian terbabit diterima. Seorang suspek berusia dalam lingkungan 40 tahun ditahan dan dibawa balik ke IPD Seri Alam bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.


Terdahulu tular rakaman video menunjukkan seorang lelaki berselisih faham dengan seorang wanita yang juga pekerja sebuah premis di pusat membeli-belah di Plentong selepas didakwa mencuri.


Kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan menghampiri motosikalnya untuk beredar dari lokasi itu. Kejadian itu menarik perhatian beberapa pengunjung yang menghampiri lelaki berkenaan.


Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.


"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan.


"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.


"Bagaimanapun, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan kejadian yang berlaku," katanya.


Beliau berkata, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran.

Dua lelaki bawa senjata, dadah ditahan selepas dikejar dari Bukit Antarabangsa ke Setiawangsa

Dua lelaki bawa senjata, dadah ditahan selepas dikejar dari Bukit Antarabangsa ke Setiawangsa


Dua lelaki ditahan selepas dikejar anggota kereta peronda polis (MPV) dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya MRR2, Hulu Kelang berhampiran Ampang Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.


Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max berwarna oren, di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menerima makluman daripada anggota MPV SL 321 yang sedang mengejar kenderaan terbabit.


"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan beberapa barangan, termasuk sebilah parang, sebilah sabit dan peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel, antaranya alat pembuka penutup lurang pembetung (manhole).


"Polis turut merampas bahan disyaki dadah daripada kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada media hari ini.


Beliau berkata, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


"Sementara itu, kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.


"Bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.


Manakala Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tular beberapa video di aplikasi Threads, berhubung kejadian berkenaan yang memaparkan kenderaan suspek merempuh pembahagi jalan di persimpangan Jalan Jelatek-Setiawangsa, sebelum tersekat di laluan bertentangan.


Berdasarkan rakaman video orang awam, salah seorang suspek kemudian melarikan diri, namun berjaya diberkas oleh polis dengan dibantu pengguna jalan raya yang berada berhampiran.


JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu susulan insiden gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terjejas.


Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.


"Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta parameter teknikal berkaitan.


"Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.


Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.


"JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.


"Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan," katanya.


Menurutnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.


Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya.


Terdahulu, gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang mengalami kerosakan pada bahagian gandar belakang tular di media sosial selepas kejadian di Johor Bahru, minggu lalu.


Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.


Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.


Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.


Bagaimanapun, belum ada pengesahan insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.

Lima lelaki ditahan cuba serang penduduk guna senjata berbahaya

Lima lelaki ditahan cuba serang penduduk guna senjata berbahaya


Polis menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian menyerang seorang penduduk menggunakan senjata berbahaya di sebuah taman perumahan, Petaling Jaya, pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.03 pagi, daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa diserang beberapa individu.


Beliau berkata, polis turut mengesan video berkaitan insiden berkenaan yang tular di media sosial.


"Hasil siasatan, polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian bagi membantu siasatan.


"Tiga daripada suspek yang ditahan, berusia lingkungan 30 tahun hingga 40-an, mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.


"Manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Shamsudin berkata, polis turut merampas sebilah parang dan sebilah gergaji yang disyaki digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.


"Siasatan awal dipercayai kejadian ini bermotifkan perselisihan faham dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata atau objek berbahaya ketika melakukan rusuhan.


"Selain itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial, atau membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung kejadian berkenaan.


Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah


Seorang penjenayah yang tular dalam insiden mengejar semalam akhirnya tumpas selepas cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.


Bagaimanapun, tindakan suspek itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden mengejar antara polis peronda dengan kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.


"Siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah dan senjata mainan menyerupai pistol. Suspek mempunyai 10 rekod lampau iaitu enam berkaitan dadah dan empat kes jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shamsudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek belum dapat dijalankan kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.


Katanya, anggota peronda polis yang terlibat dalam kejadian itu turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau berbahaya.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.


Beliau menambah, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.