Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2026

Anggota tentera maut dilanggar lori selepas tercampak dari jejambat

Anggota tentera maut dilanggar lori selepas tercampak dari jejambat


Seorang anggota tentera maut selepas tercampak dari atas jejambat ketika motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 8.04 pagi itu mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi dengan menunggang motosikal Honda Wave.


Menurutnya, ketika melalui susur jejambat untuk membuat pusingan U, mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum tercampak dari jejambat berketinggian kira-kira lima meter ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya berada di jejambat.


"Mangsa yang terjatuh telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.


"Pada masa sama, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, akibat kemalangan, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Tambahnya, penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.


"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Isnin, 12 Oktober 2026

Pemuda terbabit nahas ragut nyawa budak lima tahun dikesan polis dalam hospital swasta

Pemuda terbabit nahas ragut nyawa budak lima tahun dikesan polis dalam hospital swasta


Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, Kuala Lumpur.


Dalam kejadian pada jam 3.44 petang kelmarin, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal ketika aliran trafik bergerak perlahan.


"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta model BYD Seal.


"Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kenderaan mangsa berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu kereta Nissan Almera, Kenderaan Serba Guna (MPV) Toyota Alphard dan Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd Zamzuri berkata, bapa mangsa mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-dua mereka menerima rawatan di HKL.


"Polis berjaya mengesan pemandu kenderaan BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku.


"Pemandu BYD Seal itu adalah lelaki berusia 24 tahun. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara kerana mengalami kecederaan gegaran otak.


"Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan," katanya.


Sementara itu, tiga lagi individu, iaitu pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun serta pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun, dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.


Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.


"JSPT Kuala Lumpur turut menyeru orang ramai serta saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Ahad, 11 Oktober 2026

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu susulan insiden gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terjejas.


Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.


"Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta parameter teknikal berkaitan.


"Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.


Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.


"JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.


"Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan," katanya.


Menurutnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.


Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya.


Terdahulu, gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang mengalami kerosakan pada bahagian gandar belakang tular di media sosial selepas kejadian di Johor Bahru, minggu lalu.


Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.


Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.


Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.


Bagaimanapun, belum ada pengesahan insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine


Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.


Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.


"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.


"Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.


"Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati positif amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sarudin berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.


Katanya, isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu mereka, remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama, juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.


Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera pada badan dan turut dilaporkan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Terdahulu, Media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan berkenaan.

Jumaat, 9 Oktober 2026

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman


Empat individu cedera termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, Shah Alam, hari ini.


Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.


Katanya, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan 11 kereta dan sebuah lori.


"Terdapat mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dalam keadaan kritikal.


"Tiga lagi mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, dengan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan, seorang lagi cedera di bahagian perut, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dilaporkan separa kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semua empat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.


"Operasi menyelamat membabitkan lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan operasi menyelamat dilaporkan terkawal pada jam 5.28 petang," katanya.

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis


Polis mengesahkan kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Bukit Talang, Jalan Raja Musa, Kuala Selangor pada Khamis berlaku selepas Proton Exora dipandu seorang wanita merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika Proton Exora itu dalam perjalanan dari arah Bestari Jaya menghala ke Tanjong Karang.


"Akibat kemalangan itu, tiga mangsa daripada Proton Exora iaitu pemandu wanita berusia 44 tahun, penumpang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Seorang lagi penumpang Proton Exora mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azaharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 2.39 petang.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Norzalikha Ghazali.


"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan serta mematuhi peraturan jalan raya," tambah beliau.

Isnin, 5 Oktober 2026

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon


Pekerja gudang sebuah syarikat e-dagang yang menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) awal bulan ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful Sabinee, 21, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus ketika berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 184 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah.


Perbuatan itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada peserta larian, Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi, berhampiran sebuah gedung pakaian, di Kuala Lumpur jam 6.14 pagi, 3 Oktober lalu.


Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful yang tidak memiliki lesen memandu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung empat adik beradiknya yang masih bersekolah.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Januari depan.


Sebelum ini, kejadian berkenaan tular selepas video menunjukkan dua peserta KLSCM terbaring di atas jalan selepas dilanggar sebuah motosikal.


Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas penunggang motosikal terbabit menceroboh laluan yang ditutup dengan kon dan cuba melarikan diri secara melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.


Akibat kejadian, peserta lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di leher, manakala peserta wanita cedera di lutut kanan dan tangan sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.