Sabtu, 6 Disember 2025

JKR buat laporan polis susulan ceroboh jalan ditutup - Alexander


Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat laporan polis bagi memastikan insiden ceroboh jalan ditutup tidak berulang susulan kemalangan maut di Hulu Terengganu, semalam.


Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata beberapa tindakan segera yang lain turut diambil JKR bagi kawasan jalan runtuh dari Kilometer (KM) 52 Jalan Kuala Jeneris sehingga Aring (Bukit Kawah).


"Antaranya adalah pemasangan papan tanda amaran dan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan dan pendaftaran maklumat bencana jalan runtuh di portal rasmi," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung sehingga mengakibatkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.


Mangsa seorang guru dikenal pasti sebagai Hassan Shazali, 52, manakala wanita yang maut, Suzaimah Che Azis, 34.



"Kementerian memandang serius isu keselamatan pengguna jalan raya dan mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi arahan serta tanda penutupan di lokasi berisiko," katanya.


Beliau berkata penutupan laluan itu telah diwartakan di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30.


Katanya, JKR sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan jambatan baharu di Laluan FT036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8–Tasik Kenyir–Kuala Jeneris, Hulu Terengganu, yang diluluskan pada 25 Mac lalu dengan kos RM36 juta.


"Status terkini adalah di peringkat perolehan dengan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan bulan ini," katanya.


EmoticonEmoticon