Seorang pemandu e-hailing wanita berdepan detik cemas apabila dipukul dan dijerut oleh tiga daripada empat penumpang remaja selepas dipercayai tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dalam kejadian di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, awal pagi 14 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kesemua suspek terdiri dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan berusia 14 tahun dengan hanya seorang daripadanya masih bersekolah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun itu mengambil kesemua suspek berkenaan dari kawasan Bukit Rambai sekitar jam 12.30 tengah malam untuk dihantar ke Pekan Kuala Sungai Baru.
"Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.
"Selang beberapa minit kemudian, tiga daripada suspek dipercayai bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher mangsa dari arah belakang kerusi pemandu serta mengugut supaya tidak meminta pertolongan," katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, mangsa berjaya meloloskan diri dengan memandu keluar dari kawasan kejadian sebelum tampil membuat laporan polis.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak dan lebam pada beberapa bahagian badan selain terdapat kesan jerutan pada leher.
"Pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan yang dialami mangsa adalah berunsur diserang," ujar beliau.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek mengarahkan mangsa melalui laluan sama berulang kali dan dua kali berhenti sepanjang perjalanan itu sebelum kejadian tersebut berlaku.
"Berdasarkan keterangan mangsa, suspek perempuan dipercayai memukul mangsa menggunakan batang besi, seorang lagi menarik rambut mangsa manakala suspek lelaki menjerut leher pengadu dari belakang.
"Sementara seorang lagi suspek lelaki telah melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Ujar beliau, kesemua remaja terbabit berjaya ditahan pada petang hari sama dan direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau pegawai penyiasat, Sarjan Harith Francis Nuang Anak Agan bagi membantu siasatan.

EmoticonEmoticon