Polis berjaya memberkas semula seorang daripada 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah pada awal pagi tadi.
Lelaki terbabit ditahan di daerah Tanah Merah sekitar tengah hari tadi, dan polis meneruskan usaha mengesan baki sembilan lagi PATI yang masih bolos.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan semula seorang daripada PATI terbabit, namun enggan mengulas lanjut.
Polis melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu baki sembilan lagi PATI berkenaan, termasuk mengadakan sekatan jalan raya di lokasi strategik, terutama di sepanjang kawasan sempadan.
Hasil tinjauan di depot tahanan itu pula mendapati kawalan keselamatan telah dipertingkatkan susulan insiden berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan polis Kelantan sedang mengesan 10 PATI yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Mereka membabitkan tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh serta Rohingya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dipetik berkata justeru pihaknya melancarkan Ops Tutup di Tanah Merah dan daerah sekitar.
Orang ramai yang ada maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah melalui talian 09-9556222 atau Balai Polis Tanah Merah (09-9556223).

EmoticonEmoticon