Isnin, 24 Ogos 2026

Melecur terkena bubur lambuk panas di sekolah, pelajar dianugerahkan ganti rugi RM129,000


Mahkamah Sesyen Teluk Intan di Perak pada Jumaat menganugerahkan ganti rugi RM129,040 kepada seorang pelajar Tingkatan Lima selepas mendapati sebuah sekolah dan dua gurunya cuai dalam insiden pelajar perempuan itu melecur akibat terkena bubur lambuk panas ketika program sekolah pada 2022.


Menurut FMT, Hakim Gan Peng Kun memutuskan bahawa defendan cuai kerana membenarkan kelas Matematik dijalankan di kawasan memasak ketika program itu berlangsung, selain melengahkan pemindahan pelajar berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas insiden itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Intan di Teluk Intan.


M Thanaletchumi, yang memfailkan saman bagi pihak anak perempuannya, menamakan guru besar sekolah berkenaan, dua guru dan kerajaan sebagai defendan.


Dalam saman difailkan pada 2024, pelajar yang kini berusia 17 tahun itu berkata kejadian berlaku pada April 2022 ketika dia diarahkan menghadiri sesi memasak bubur lambuk.


Katanya, dia terjatuh di atas lantai yang licin selepas ditolak oleh seorang pelajar dari kelas lain, menyebabkan tangan kirinya terjatuh ke dalam periuk berisi bubur yang sedang mendidih.


Pelajar itu turut menyatakan trauma akibat parut kekal dialaminya, keperluan memakai pakaian berlengan panjang untuk menutup kecederaan berkenaan, selain rasa malu dan semangat yang merosot sejak kejadian itu.


Peng Kun memberikan RM100,000 sebagai ganti rugi teladan, RM5,000 bagi kecederaan melecur pada tangan dan lengan kirinya, RM24,000 bagi parut, serta RM40 bagi kos mendapatkan laporan perubatan.


Peguam M Manoharan mewakili plaintif, manakala Peguam Persekutuan Hamida Abdul Kadir hadir bagi pihak kerajaan.


EmoticonEmoticon