Khamis, 8 Oktober 2026

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak


Mayat remaja lelaki dipercayai mangsa bunuh dengan kesan cedera di muka dan kepala ditemui di semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, hari ini.


Mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan hitam dan kuning oleh orang awam jam 8 pagi tadi.


Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia terkejut apabila anggota polis datang ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk pengecaman.


Pada mulanya dia menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulungnya itu.


"Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.


"Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu.


"Polis beritahu anak saya ditemui terbaring di tepi jalan di lokasi kejadian pagi tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.


Menurutnya, hubungan dia dengan anaknya itu tiada sebarang masalah dan arwah pernah berkerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.


"Namun kami terputus hubungan selepas anak keluar dari rumah sejak bulan lalu," katanya.


Menurutnya, suami, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200.


"Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan anak saya itu. Namun kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.


"Arwah memang tiada masalah dengan kami malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya," katanya.


Terdahulu, jenazah Muhammad Haikal dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB sejurus selesai urusan bedah siasat sekitar jam 5.45 petang.


Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam di Guar Chempedak.


Sementara itu, adik lelaki kedua mangsa yang masih berpakaian sekolah tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jenazah abangnya di bilik mayat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu sidang media akan diadakan Ahad ini oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung kejadian itu.


EmoticonEmoticon