Ahad, 4 Oktober 2026

Gagal bayar denda RM25,000, pembuat gigi palsu haram dipenjara 3 tahun


'Kerjaya' menghasilkan gigi palsu secara haram membawa padah apabila seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas gagal membayar denda RM25,000 dikenakan Mahkamah Sesyen Baling, Kedah, pada Khamis.


Hakim Norhayati Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Suzana Othman, 34, mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000, penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.


Berikutan kegagalannya membayar denda, tertuduh dihantar ke penjara Pokok Sena oleh Polis Daerah Baling.


Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Faryna Md Yaakub.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menetap di Taman Bersatu, Baling, Kedah ditahan ketika melakukan proses menghasilkan gigi palsu untuk pelanggan lelaki.


Perbuatan itu terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Kedah menyerbu kediaman itu kira-kira jam 11.04 pagi, 5 Jun tahun lalu.


Ketika serbuan, pasukan diketuai Dr Fathiyyah Emran bersama seorang anggota polis dari Balai Polis Baling mendapati tertuduh sedang mengambil acuan gigi milik seorang pelanggan lelaki.


Turut berada di ruang dapur berkenaan adalah seorang wanita yang menemani pelanggan terbabit.


Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan dan bahan pergigian dipercayai digunakan bagi menjalankan rawatan serta pembuatan gigi palsu di premis kediaman itu.


Tertuduh gagal mengemukakan dokumen membuktikan dia adalah pengamal pergigian berdaftar serta premis berkenaan merupakan klinik pergigian swasta yang berdaftar dengan KKM. Kesemua peralatan dan bahan pergigian yang ditemui kemudian dirampas.


Semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) mendapati tertuduh bukan pengamal pergigian berdaftar di bawah Akta Pergigian 1971 atau Akta Pergigian 2018.


Dia juga tidak pernah diberikan Perakuan Amalan Tahunan (APC) yang membolehkannya menjalankan amalan pergigian. Susulan itu, dia didakwa melanggar Seksyen 62(1) Akta 804 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon