Seorang warga emas maut ditikam oleh anak perempuan di rumah mereka di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 7 petang daripada menantu mangsa, yang juga suami kepada suspek.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek yang berusia 49 tahun dan mempunyai rekod psikiatri itu hanya tinggal berdua di rumah berkenaan bersama mangsa yang berusia 70 tahun.
"Mangsa terlantar sakit dan memerlukan penjagaan yang rapi, manakala suspek pula dikesan mempunyai rekod rawatan psikiatri.
"Mungkin disebabkan (tekanan) tidak tahan dengan kerenah jagaan warga emas berkenaan, suspek bertindak menikam ibunya sekali di dada kiri menggunakan pisau," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.
Menurutnya, mangsa sebelum ini ditempatkan di sebuah pusat jagaan orang tua di Pusing, Batu Gajah sebelum dibawa pulang untuk dijaga oleh suspek bersama suaminya.
Susulan kejadian terbabit, polis menahan suspek serta merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan untuk dihantar ke makmal forensik.
Suspek direman sehingga 4 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

EmoticonEmoticon