KULAI - Cubaan seorang lelaki berstatus duda menyembunyikan kehadiran seorang wanita di dalam bilik rumah sewa terbongkar apabila mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi khalwat di Senai, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira jam 1.10 pagi itu dilakukan susulan maklumat dan aduan penduduk setempat yang mengesyaki berlaku perbuatan tidak bermoral di rumah berkenaan.
Menurut JAINJ, ketika anggota penguat kuasa tiba, pintu utama rumah didapati tertutup rapat tetapi tidak berkunci.
Pemeriksaan kemudian diteruskan dengan mengetuk salah satu pintu bilik. Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit menunggu, barulah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an membuka pintu dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan seorang wanita berusia lingkungan 20-an dari negara jiran sedang berbaring di atas katil dalam keadaan berselimut.
Lelaki berkenaan pada mulanya cuba meyakinkan anggota penguat kuasa bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Namun, dia gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah sebelum akhirnya mengakui hanya bertemu untuk berdua-duaan di dalam bilik tersebut.
Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di Kulai, manakala wanita berkenaan yang masih bujang bekerja di Senai.
Kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor berkaitan kesalahan berkhalwat.
JAINJ turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang syariah dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak serta aduan masyarakat.

EmoticonEmoticon