Khamis, 5 November 2026

Cuba larikan diri melalui tingkap hotel tingkat tiga, pasangan dicekup JAINJ

Gambar Ilustrasi

KLUANG - Tindakan sepasang lelaki dan wanita yang dipercayai berkhalwat dengan mengunci pintu bilik hotel dari dalam gagal menyelamatkan mereka apabila penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terpaksa merempuh pintu selepas lebih 30 minit menunggu tanpa mendapat kerjasama.


Lebih mencemaskan, lelaki terbabit turut dipercayai cuba melarikan diri melalui tingkap bilik hotel di tingkat tiga, namun tindakannya berjaya digagalkan selepas disedari penguat kuasa yang melakukan pemantauan di bahagian luar bangunan.


Menurut kenyataan penguat kuasa JAINJ, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika sepasukan anggota menjalankan pemeriksaan berkala dan rambang di sebuah hotel di daerah ini.


Pemeriksaan bermula apabila penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan serta memberi salam, namun tiada sebarang jawapan diterima daripada penghuni.


Selepas kira-kira lima minit, penguat kuasa meminta bantuan petugas hotel untuk mendapatkan kunci pendua. Bagaimanapun, usaha membuka pintu tetap gagal kerana ia dikunci kemas dari bahagian dalam.


Berikutan keadaan itu, pihak penguat kuasa menghubungi polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Sepasukan anggota polis tiba kira-kira lima minit kemudian bagi membantu mengendalikan situasi berkenaan.


Walaupun panggilan dan beberapa amaran supaya penghuni membuka pintu serta memberikan kerjasama telah dibuat berulang kali, kedua-duanya masih tidak memberikan respons.


Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila seorang penguat kuasa yang berada di bahagian luar bangunan ternampak seorang lelaki cuba keluar melalui tingkap bilik berkenaan.


Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut amat berbahaya kerana bilik berkenaan terletak di tingkat tiga dan lelaki terbabit berisiko terjatuh sekiranya tersilap langkah.


Bagaimanapun, cubaan melarikan diri itu berjaya dipatahkan apabila penguat kuasa menghalakan lampu suluh ke arah lelaki berkenaan, menyebabkan dia kembali masuk ke dalam bilik.


Selepas menunggu lebih 30 minit dan memberikan amaran berulang kali, penguat kuasa akhirnya terpaksa merempuh pintu sehingga terbuka.


Pemeriksaan di dalam bilik mendapati seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi, manakala seorang wanita berada di atas katil. Kedua-duanya memakai seluar panjang dan baju-T ketika pemeriksaan dilakukan.


Hasil soal siasat awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu berstatus duda, berasal dari Johor Bahru, manakala wanita berusia lingkungan 40-an berstatus janda, berasal dari Perak dan menetap di Kluang.


Pasangan berkenaan mengakui mereka bukan suami isteri, namun mendakwa hanya berehat di bilik hotel dan menafikan melakukan perkara tidak sepatutnya.


Ketika ditanya mengenai hasrat untuk bernikah, kedua-duanya menggelengkan kepala, menunjukkan mereka tidak mempunyai perancangan ke arah itu.


Semakan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod berkaitan jenayah dadah dan pernah menjalani hukuman penjara.


Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat. Satu laporan polis turut dibuat di IPD Kluang bagi tujuan rekod dan tindakan lanjut.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon