Khamis, 5 November 2026

Rogol anak tiri sejak usia 11 tahun, penarik beca dipenjara 12 tahun dan sebatan


MELAKA - Seorang penarik beca dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam selepas didapati bersalah merogol serta melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun.


Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 46 tahun selepas meneliti fakta kes dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Melaka pada Januari tahun lalu. Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama kira-kira jam 11.30 malam pada 17 Oktober lalu di kediaman berkenaan.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol oleh tertuduh, yang juga bapa tirinya, sejak berusia 11 tahun. Perbuatan itu didakwa berlaku hampir setiap hari sehingga Januari tahun lalu.


Mangsa turut didakwa mengalami amang seksual fizikal, dengan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 17 Oktober lalu.


Kes berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis. Tertuduh kemudian ditahan pada 28 Oktober lalu. Ibu mangsa turut diceraikan dan dihalau keluar dari rumah sewa mereka oleh tertuduh selepas perbuatan itu terbongkar.


Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat bagi mencerminkan ketegasan undang-undang terhadap jenayah seksual, khususnya yang membabitkan mangsa kanak-kanak.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan merayu supaya tidak dikenakan sebatan atas alasan mengalami masalah cakera tulang belakang atau slip disc, selain menanggung beban hutang.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala lima tahun penjara serta tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.


Kedua-dua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan selama 12 tahun.


Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selepas selesai menjalani hukuman.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon