Jumaat, 23 Oktober 2026

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah


Inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat atas tiga tuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan


"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap daripada ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 Kanun yang sama, melampaui keraguan munasabah.


"Oleh itu, saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda itu," katanya dalam penghakiman pada Jumaat.


Tertuduh dihukum penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman diperintah berjalan secara berasingan yang menjadikan keseluruhan enam tahun penjara.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan susulan permohonan dikemukakan peguam Sylvester Kuan yang mewakili tertuduh.


Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan tipu daya menggunakan sebagai tulen dokumen palsu berupa rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat oleh tiga anggota polis dalam kapasiti rasmi mereka.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon