Sabtu, 24 Oktober 2026

Lelaki dipenjara empat tahun, sebatan kerana rompak subang emas nenek saudara


Seorang penganggur dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis selepas mengaku bersalah merompak sepasang subang emas milik nenek saudaranya menggunakan pemutar skru, minggu lalu.


Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan Mohamad Fitri Abdul Aziz, 39, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Oktober lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh merompak barang kemas milik Lailan Yeop Tarikh, 77, di rumah mangsa di Kampung Tanjong, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, kira-kira jam 10.30 pagi pada 16 Oktober.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh memasuki rumah mangsa dengan membawa pemutar skru sebelum mengikat kedua-dua tangan wanita itu menggunakan pita pelekat, kemudian melarikan diri bersama subang emas berkenaan.


Mangsa mengalami lebam pada kedua-dua pergelangan tangan, manakala kerugian dianggarkan RM3,000. Salah satu subang itu turut dipercayai telah dijual tertuduh di sebuah kedai pajak gadai.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan bertindak demikian kerana sakit hati sering dituduh mencuri oleh mangsa.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana mangsa merupakan warga emas yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama.


EmoticonEmoticon