Isnin, 16 November 2026

Isteri orang tinggal sebilik dengan lelaki bujang, dicekup khalwat

Gambar Ilustrasi

KULAI - Hubungan seorang wanita berstatus isteri orang dengan lelaki bujang yang dikenalinya menerusi media sosial sejak lebih setahun lalu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan khalwat di sebuah bilik sewa di Taman Sciencetex, Senai, di sini, malam tadi.


Serbuan kira-kira jam 11.15 malam itu dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan orang awam.


Menurut kenyataan JAINJ, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu kira-kira tiga minit sebelum pintu bilik berkenaan dibuka oleh seorang wanita berusia 40-an yang hanya memakai kain batik dan baju-T hitam.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki berusia 30-an sedang duduk di atas tilam bujang dengan hanya berkain pelikat.


Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri, manakala wanita berkenaan mengesahkan dirinya masih mempunyai suami.


Siasatan awal mendapati wanita itu sudah tinggal bersama lelaki berkenaan di bilik sewa terbabit sejak kira-kira sebulan lalu, selepas mengenali lelaki itu melalui media sosial lebih setahun.


Wanita berkenaan mendakwa dia meninggalkan suami dan anak-anaknya di kampung halaman di sebuah negeri di Pantai Timur kerana berlaku perselisihan faham rumah tangga serta sedang dalam proses perceraian.


Dia turut memberi alasan berpindah ke Senai untuk mencari pekerjaan dan terpaksa menumpang di bilik sewa lelaki terbabit bagi menjimatkan perbelanjaan.


JAINJ memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana kesalahan berkhalwat dan pasangan itu akan dituduh di Mahkamah Syariah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon